Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar suntikan negeri dilipat ganda, cepatkan imuniti kelompok

SHAH ALAM, 9 OGOS: Selangor bekerjasama dengan persekutuan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mempercepat suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata penduduk Sepang dan Kuala Selangor lengkap sepenuhnya dos pertama manakala Hulu Langat, Kuala Langat dan Sabak Bernam lebih 80 peratus.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan PICK untuk melipat gandakan usaha supaya kadar vaksinasi di daerah lain juga dapat dipertingkat.

“Petaling kini mencecah 78.06 peratus, Hulu Selangor (57.24 peratus), Klang (51.13 peratus) dan Gombak (25.19 peratus). Kita harap dapat ditingkatkan seterusnya membantu mencapai imuniti kelompok,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian menerusi video kemas kini usaha Kerajaan Selangor menggempur Covid-19 yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

Beliau menambah sebanyak 4.9 juta dos berjaya disuntik menerusi program PICK dan manakala 232,670 dos melalui program Vaksin Selangor (Selvax) setakat 6 Ogos.

Selangor melancarkan Selvax pada Jun lalu bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini membabitkan kos RM200 juta.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.