Categories
ADN SELANGOR

Ketua pembangkang negeri cadang fasiliti kerajaan jadi pusat kuarantin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Ketua pembangkang Selangor menyarankan bangunan milik Kerajaan Negeri di Sabak Bernam dijadikan pusat kuarantin dan isolasi pesakit Covid-19.

Datuk Rizam Ismail turut mencadangkan bangunan lain yang bersesuaian termasuk balai raya, Institut Latihan Jati Diri Selangor dan Hay Resort Sabak Bernam.

“Dari kita belanja untuk bangunan yang tidak tahu akan jadi apa (kemudian), lebih baik kita elokkan fasiliti bangunan yang dah ada dan wartakan.

“Jika jadikan dewan badminton, takraw sebagai pusat kuarantin Kerajaan Negeri kena keluar duit sewa tandas bergerak, katil, dan peralatan lain untuk pesakit,” katanya pada ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar berkata Hay Resort juga boleh digunakan untuk tujuan lain yang bermanfaat jika dibaik pulih.

“Daripada jadi projek gajah putih, lebih baik baik pulih. Bila dah menang lawan virus ini, (resort) boleh beri kepada pemaju untuk lebih bermanfaat,” katanya.