Categories
ADN SELANGOR

Ketua pembangkang negeri cadang fasiliti kerajaan jadi pusat kuarantin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Ketua pembangkang Selangor menyarankan bangunan milik Kerajaan Negeri di Sabak Bernam dijadikan pusat kuarantin dan isolasi pesakit Covid-19.

Datuk Rizam Ismail turut mencadangkan bangunan lain yang bersesuaian termasuk balai raya, Institut Latihan Jati Diri Selangor dan Hay Resort Sabak Bernam.

“Dari kita belanja untuk bangunan yang tidak tahu akan jadi apa (kemudian), lebih baik kita elokkan fasiliti bangunan yang dah ada dan wartakan.

“Jika jadikan dewan badminton, takraw sebagai pusat kuarantin Kerajaan Negeri kena keluar duit sewa tandas bergerak, katil, dan peralatan lain untuk pesakit,” katanya pada ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar berkata Hay Resort juga boleh digunakan untuk tujuan lain yang bermanfaat jika dibaik pulih.

“Daripada jadi projek gajah putih, lebih baik baik pulih. Bila dah menang lawan virus ini, (resort) boleh beri kepada pemaju untuk lebih bermanfaat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasiliti KKM masih mampu tampung pesakit Covid-19 – menteri

JOHOR BAHRU, 9 JAN: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata fasiliti kementerian itu masih mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 di sebalik peningkatan mendadak kes semasa.

Bagaimanapun katanya kementerian akan mengaktifkan semula lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara bagi menempatkan pesakit berisiko rendah.

“Setakat ini, fasiliti KKM (Kementerian Kesihatan) masih mampu menampung peningkatan kes, namun kaedah ketat dalam melandaikan keluk Covid-19 perlu dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media bersempena Majlis Penyerahan Projek Naik taraf Pusat Pengumpulan Darah Fasa Dua di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Adham berkata kerajaan juga perlu melihat pada kebajikan petugas perubatan barisan hadapan termasuk pakar pengendalian mesin ventilator yang kini bertungkus lumus menangani peningkatan mendadak kes.

“Ini kerana kita dapati kes pesakit Covid-19 yang menggunakan ventilator dan katil ICU (unit rawatan rapi) turut meningkat,” katanya.

– BERNAMA