Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 70 peratus kes baharu Covid-19 tiada sejarah vaksin

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 15,371 kes atau 73.6 peratus daripada 20,897 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tiada atau tidak lengkap suntikan vaksin.

Data dikongsikan ketua pengarah kesihatan menunjukkan pesakit kategori dua (bergejala ringan) merekodkan jangkitan tertinggi sebanyak 9,204 sementara kategori satu (tiada gejala) 5,858 kes.

Kategori tiga (radang paru-paru) pula mencatatkan 244 kes, kategori empat (perlu bantuan oksigen) sebanyak 119 kes dan kategori lima (kritikal) 79 kes.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan dalam negara, terutama kes kategori tiga hingga lima,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 282 kes kematian direkodkan hari ini dengan kes tertinggi dicatatkan Selangor membabitkan 139 kematian.

Angka korban di negeri dan wilayah dan negeri lain seperti berikut:

Johor – 52
Kuala Lumpur – 21
Sabah – 15
Pulau Pinang – 12
Kedah – 11
Kelantan – 9
Pahang – 7
Melaka – 5
Negeri Sembilan – 3
Perak – 3
Terengganu – 2
Perlis – 1
Sarawak – 1
Putrajaya – 1