Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki berkostum Batman, Joker hiburkan penerima vaksin Selangor

PETALING JAYA, 7 OGOS: Kelibat dua individu penerima vaksin yang lengkap berpakaian seperti watak adiwira menggamit perhatian pengunjung Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall hari ini.

Rata-rata peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang menunggu giliran terkejut dengan kehadiran Amiruddin Danial Abdul Mutalib, 22, dan Muhammad Harizal Hafeez Hassanal, 25, yang mengenakan kostum “Joker” serta “Batman”.

Tiba sekitar jam 12.10 tengah hari, kedua-dua pemuda terbabit kelihatan bersahaja dan melayani orang ramai yang mahu bergambar serta merakam video sebelum ke tempat pendaftaran untuk mendapatkan dos pertama vaksin Sinovac.

Amiruddin Danial Abdul Mutalib

Amiruddin Danial berkata dari awal lagi dia memang berniat mencipta kelainan kerana mahu menghiburkan orang awam termasuk petugas barisan hadapan sekali gus mewujudkan suasana ceria di pusat vaksin.

Menurutnya, selepas dimaklumkan Selvax menawarkan suntikan tanpa janji temu, beliau segera memohon kebenaran pengurusan PPV terbabit untuk memakai kostum berkenaan.

“Saya pakai kostum ini sekadar suka-suka memandangkan sebelum ini ada individu turut melakukan perkara sama di PPV lain. Ramai peserta yang teruja melihat penampilan saya dan tidak melepaskan peluang bergambar.

“Sekurang-kurangnya tindakan seperti ini boleh meningkatkan keyakinan orang ramai menerima vaksin,” katanya yang mengambil masa kira-kira sejam untuk memakai kostum tersebut termasuk solekan.

Amiruddin Danial Abdul Mutalib (Joker) dan Muhammad Harizal Hafeez Hassanal (Batman) mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jurufoto yang menetap di Shah Alam itu berkata beliau merancang melakukan perkara sama sewaktu menerima dos kedua dijangka dalam tempoh tiga minggu dari sekarang, namun dengan kostum berbeza.

“Saya memang penggemar kostum ala karakter animasi sejak 2017 dan buat masa ini memiliki lima koleksi adiwira iaitu Kamen Rider, Power Rangers, Black Panther, Aquaman termasuk Joker.

“Sebahagian koleksi tersebut dibuat sendiri dan ada juga yang saya beli dari kedai dalam talian luar negara. Jadi, barangkali saya akan pakai karakter Aquaman semasa melengkapkan dos kedua nanti di PPV ini,” katanya.

Muhammad Harizal Hafeez Hassanal

Sementara itu, jurutera rangkaian Muhammad Harizal Hafeez mengakui gembira apabila dapat mengenakan kostum Batman bernilai lebih RM1,000 sebagai cara menggalakkan lebih ramai tampil menerima suntikan pelalian.

“Semua orang tahu adiwira biasanya kuat dan gagah, jadi ia akan memberi dorongan kepada orang ramai untuk menerima suntikan khususnya mereka yang belum berbuat demikian disebabkan fobia jarum atau antivaksin.

“Ramai yang keluarkan telefon pintar masing-masing dan merakam video apabila melihat saya berpakaian seperti ini. Dengan video itu, kemungkinan akan menarik minat orang lain untuk hadir tanpa janji temu ke mana-mana PPV,” katanya yang tinggal di Damansara.