Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: MPKS diharap sedia perkhidmatan lebih baik, urus tadbir berkesan

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) diharap menyediakan perkhidmatan lebih baik lagi berkesan untuk masyarakat seiring perubahan semasa.

Dato’ Menteri Besar berkata perkhidmatan meliputi aktiviti kutipan hasil, kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan lain-lain fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan struktur organisasi juga perlu dimantapkan selain mewujudkan kakitangan berkebolehan menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.

“Mereka perlu menjadi jentera perkhidmatan dinamik merentasi sempadan dan melangkaui ekspektasi pemikiran biasa yang mana peranan dilaksanakan perlu seiring perubahan di peringkat domestik serta global.

“Insya-Allah, dengan strategi pengurusan pentadbiran berkesan melalui gabungan kepimpinan tertinggi serta kekuatan pasukan pegawai dan kakitangan MPKS akan menguatkan lagi pasukan kerajaan dalam mentadbir negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena pengisytiharan MPKS secara maya hari ini.

Amirudin berkata keberkesanan pentadbiran juga menjadi tuntutan masyarakat yang perlu disasarkan PBT terbabit.

“Keberkesanan sesuatu pentadbiran bermula di peringkat perancangan, kemudian terpancar di peringkat pembangunan dan penyediaan sebelum peringkat pengendalian perkhidmatan melibatkan pelbagai pemegang taruh,” katanya.