Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI, PKNS belanja RM9.13 juta laksana program agama, sosial

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri menerusi dua anak syarikatnya membelanjakan sebanyak RM9.13 juta bagi melaksanakan program sosial dan kemasyarakatan setakat Julai.

Dato’ Menteri Besar berkata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan RM4.15 juta bagi program keagamaan, pendidikan (RM2.68 juta), sosial (RM1.05 juta) dan bencana (RM834,953.58).

Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan sebanyak RM1 juta bagi program sumbangan kardiovaskular rawatan jantung Institut Jantung Negara.

“Antara jumlah terbesar yang dibelanjakan ialah sumbangan masjid menerusi program Jelajah Ramadan Kita Selangor iaitu RM1.2 juta dan pembaikan bumbung bangunan mangsa ribut Bandar Baru Salak Tinggi dan Mukim Labu RM470,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 26 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI

“Selain itu, inisiatif bantuan makanan di pusat pemberian vaksin (PPV) sebanyak RM212,000 dan baucar makanan runcit kepada kelompok terkesan sejumlah RM150,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berhubung sumbangan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Turut dibelanjakan ialah bakul makanan sebanyak RM539,100 dan bantuan tablet bagi pengajaran dan pembelajaran di rumah serta pusat kuarantin dan PPV memerlukan.

Sementara itu, Amirudin berkata anak syarikat negeri sedang meneroka bidang kalis bencana antaranya pemulihan dan pengurusan sisa pepejal yang mampu menyelamatkan alam sekitar.

Beliau menjelaskan langkah itu membolehkan Kerajaan Negeri meraih pendapatan konsisten untuk terus melaksanakan program tanggungjawab sosial.

“Worldwide Holdings Berhad kini terlibat dengan sektor pemulihan dan pengurusan sisa pepejal manakala Kumpulan Perangsang Selangor pula menguasai beberapa syarikat pembuatan besar dan mempunyai rangkaian dunia,” katanya.