Categories
ADN SELANGOR

Orang ramai pilih Selvax Komuniti sebab dekat, mudah dan cepat

BESTARI JAYA, 8 OGOS: Program Vaksin Selangor (Selvax) inisiatif Kerajaan Negeri membantu penduduk mendapat suntikan pelalian bersama keluarga serentak, cepat dan dekat dengan kediaman.

P Viswanathan, 56, berkata dia hadir ke Selvax Komuniti DUN Ijok menerima suntikan bersama anak dan menantu semalam selepas lebih tiga bulan mendaftar di aplikasi MySejahtera.

P Viswanathan, 56 bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dun Ijok di Dewan Besar Yuk Chih Bistari Jaya, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sehingga sekarang masih tidak dapat tarikh giliran. Hari ini (semalam) kami dapat suntikan dan proses berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Dewan Besar Yuk Chih semalam.

Bagi suri rumah Noryati Amaran, 42, pula, dia dan kakaknya Noraini, 47, terpaksa membatalkan janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) susulan lokasi suntikan jauh.

“Kami membuat keputusan itu selepas berdepan masalah pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara Puncak Alam minggu lalu. Kami bersetuju tunggu Selvax.

“Kebetulan lokasi berhampiran rumah dan memudahkan. Lokasi PPV ini juga mempengaruhi kadar suntikan. Jika ramai berdepan masalah seperti kami, mungkin masih ramai tidak mengambil vaksin,” katanya.

Noryati Amaran, 42, bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dun Ijok di Dewan Besar Yuk Chih Bistari Jaya, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara Lim Boon Chuan,50, pula berkata pengalaman mendapatkan pelalian di PPV Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor menyebabkan dia membatalkan janji temu suntikan ibu bapanya, Tang Eng Chai dan Lim Yen Sey, masing-masing berusia 78 dan 81 tahun.

“Sana susah sikit. Kena panjat tangga dan ramai orang. Jadi tak sesuai untuk mak dan bapa sebab itu saya batalkan dan mohon vaksin Selangor. Sini lebih mudah dan selesa,” katanya.