Categories
AGENDA NASIONAL

Parti-parti pembangkang tolak tawaran, dakwa Muhyiddin belakangi kuasa Agong

SHAH ALAM, 13 OGOS – Parti-parti pembangkang dan kumpulan Umno yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional menolak tawaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) dan kumpulan Umno itu turut menyifatkan ahli parlimen Pagoh membelakangi fungsi dan kuasa di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan perdana menteri.

Parti Muda, Parti Warisan Sabah, Parti Sarawak Bersatu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) secara bersama turut menolak tawaran yang dianggap mereka sebagai cubaan membeli sokongan.

Dalam tiga kenyataan berasingan, semua parti-parti tersebut senada mendesak Muhyiddin meletak jawatan dan mahu proses demokrasi dijalankan semula.

PAKATAN menganggap tawaran yang dibuat perdana menteri dalam pengumuman khas petang tadi tidak ikhlas dan sekadar cubaan meraih sokongan pembangkang

“Ini juga kali pertama seorang perdana penteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menganggap tawaran berkenaan sebagai sogokan terbuka untuk memanjangkan hayat politik Muhyiddin.