Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pesanan lewat sampai, Dr Noor Hisham gembira Selangor pinjamkan vaksin

SHAH ALAM, 19 OGOS: Ketua pengarah kesihatan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bersetuju meminjamkan 500,000 dos stok vaksin untuk diedar ke negeri yang mempunyai kadar suntikan rendah.

Dalam kenyataan di Twitter malam ini, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memuji usaha Selangor yang peduli dan saling membantu negeri serta kawasan lain yang memerlukan.

“Alhamdulilah dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Selangor. Ambil peduli dan saling bantu membantu negeri-negeri yang memerlukan vaksin adalah amalan terbaik menjelang Hari Kebangsaan. Malaysia Prihatin. Insya-Allah,” tulisnya.

Dr Noor Hisham turut menyatakan tujuan meminjam vaksin berikutan bekalan yang ditempah lewat tiba.

Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 dos stok vaksin yang dibeli melalui program Vaksin Selangor (Selvax) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19.

Dalam sidang media secara maya hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini.

Beliau menjelaskan antara negeri yang bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Sabah dengan vaksin perlu dipulangkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.