Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat sokongan pendidikan negeri penuhi keperluan anak istimewa

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Selangor menubuhkan pusat sokongan pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun di negeri ini.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata perkhidmatan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) meliputi saringan, pengesanan awal dan intervensi.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan pusat itu turut memberi latihan dan kursus asas secara berterusan kepada ibu bapa, pendidik serta komuniti.

“Penubuhan Pusat Anis selaras hasrat Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan anak istimewa di Selangor dengan menyediakan perkhidmatan yang mampu diakses oleh golongan tersebut.

“Sejak 2018, Kerajaan Negeri memperuntuk RM3 juta setahun bagi merancang dan melaksanakan program pemberdayaan anak istimewa termasuk menubuhkan pusat ini,” katanya dalam kenyataan.

Penubuhan Pusat Anis diumumkan dalam Majlis Penandatanganan Terma Rujukan (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia secara maya hari ini.

Majlis disaksikan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei dan Pengarah Pusat Genius Kurnia KPM Dr Nil Farakh Sulaiman.

Siti Mariah berkata Pusat Anis yang dikendalikan Yawas akan bekerjasama dengan Pusat Genius Kurnia KPM bagi mendapatkan khidmat kepakaran serta runding cara.

“Antaranya termasuk menjadi pusat rujukan bagi Anis, memantau modul dan kurikulum yang akan digunakan, memberi nasihat dan latihan serta khidmat kaunseling bagi ibu bapa yang memerlukan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pusat pendidikan itu boleh didapati melalui pautan http://www.anisselangor.com.