Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesakit taun sembuh, JKNS tetap bersedia jika ada jangkitan baharu

SHAH ALAM, 15 NOV: Warga tempatan yang dijangkiti taun atau kolera di Petaling bulan lalu sudah sembuh, menurut EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjalankan usaha mencari punca jangkitan melibatkan semua kontak penyedia makanan namun belum menemui punca sebenar.

“Kes dikesan 21 Oktober. Siasatan mendapati semua (penyedia makanan) bebas daripada kuman. Walaupun tak dapat kesan punca, JKNS tetap mengambil langkah bersedia sekiranya ada lagi kes ini.

“Peniaga makanan diminta lebih teliti menjaga kebersihan jualan. Orang awam yang mengalami cirit-birit, muntah dan loya diminta segera mendapatkan rawatan,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selain tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna.

“Minum air yang dididihkan atau terawat. Jika ada simptom kolera terus dapatkan rawatan,” katanya.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mengesahkan berlakunya jangkitan berkenaan.

Sebagai langkah pencegahan, JKNS meminta semua pengamal perubatan melaporkan kes wabak yang disahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui sistem e-notifikasi dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, mereka juga diminta mengambil sampel najis bagi ujian kultur dan sensitiviti bagi kes yang disyaki kolera.

Sementara itu, PKD turut diminta mempertingkatkan pemantauan ‘acute gastroenteritis’ (AGE) di semua klinik.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat sokongan pendidikan negeri penuhi keperluan anak istimewa

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Selangor menubuhkan pusat sokongan pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun di negeri ini.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata perkhidmatan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) meliputi saringan, pengesanan awal dan intervensi.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan pusat itu turut memberi latihan dan kursus asas secara berterusan kepada ibu bapa, pendidik serta komuniti.

“Penubuhan Pusat Anis selaras hasrat Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan anak istimewa di Selangor dengan menyediakan perkhidmatan yang mampu diakses oleh golongan tersebut.

“Sejak 2018, Kerajaan Negeri memperuntuk RM3 juta setahun bagi merancang dan melaksanakan program pemberdayaan anak istimewa termasuk menubuhkan pusat ini,” katanya dalam kenyataan.

Penubuhan Pusat Anis diumumkan dalam Majlis Penandatanganan Terma Rujukan (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia secara maya hari ini.

Majlis disaksikan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei dan Pengarah Pusat Genius Kurnia KPM Dr Nil Farakh Sulaiman.

Siti Mariah berkata Pusat Anis yang dikendalikan Yawas akan bekerjasama dengan Pusat Genius Kurnia KPM bagi mendapatkan khidmat kepakaran serta runding cara.

“Antaranya termasuk menjadi pusat rujukan bagi Anis, memantau modul dan kurikulum yang akan digunakan, memberi nasihat dan latihan serta khidmat kaunseling bagi ibu bapa yang memerlukan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pusat pendidikan itu boleh didapati melalui pautan http://www.anisselangor.com.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO saran tambah pegawai perubatan untuk percepat proses vaksin

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kapasiti pegawai perubatan perlu ditingkatkan bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin di Selangor, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat masa ini pegawai perubatan sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah mengikut jumlah vaksin yang diterima.

“Kerajaan Negeri memang sedang dalam usaha untuk menambah pusat pemberian vaksin (PPV) tetapi penambahan ini memerlukan doktor dan jururawat yang berkelayakan.

“Ini kerana menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), lebih empat juta dos akan tiba. Apabila vaksin ada kita perlu menambah pegawai perubatan,” katanya selepas sesi serahan ‘Home Assessment Tools’ di Stadium Malawati semalam.

Mengenai penambahan katil di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, beliau menjelaskan situasi itu hanya sementara untuk pesakit yang sedang menerima rawatan.

“Pesakit tidak dibiarkan terlalu lama dan mereka turut dipantau oleh pegawai perubatan,” katanya.

Pada 29 Jun, Dr Mariah memaklumkan Selangor bakal menerima 4,008,710 dos vaksin iaitu bekalan tertinggi diperoleh berbanding negeri lain.

Jumlah itu diperoleh selepas beliau menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor cuma terima 615,000 dos vaksin, bukan 2.9 juta

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor cuma menerima 615,000 bekalan dos vaksin setakat kelmarin, bertentangan dengan data Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

EXCO kesihatan awam menjelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) setakat 1 Jun hanya menerima 434,070 vaksin Pfizer BioNTech selain Sinovac (146,440) dan AstraZeneca (34,700).

“Maka, tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak 2.9 juta dos vaksin dan mustahil untuk Selangor mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Menyangkal laporan portal bertajuk ‘Selangor Received 2.9 Million Covid-19 Vaccine Doses: Mosti’, beliau berkata banyak kecelaruan dalam data kementerian itu, malah tidak selari dengan statistik pemberian dan penerimaan vaksin di Selangor.

“Kedua, terdapat negeri-negeri yang memberikan vaksin lebih daripada bekalan yang diterima. Situasi ini menunjukkan data yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan,” katanya lagi.

Dr Siti Mariah juga menambah keseluruhan vaksin yang telah diberi ialah 425,970 dos berdasarkan statistik Bilik Gerakan Negeri Selangor iaitu fasa pertama melibatkan 233,874 dos dan fasa kedua (192,096 dos).

Menjelaskan pengagihan vaksin diurus Kementerian Kesihatan sepenuhnya, beliau berkata bekalan yang diperuntuk kepada negeri disalur kepada JKNS sebelum ke bahagian farmasi, pusat kesihatan daerah dan pusat pemberian vaksin.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor ramai penduduk, Putrajaya disaran agih lebih banyak vaksin

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan persekutuan disaran menyalurkan jumlah vaksin lebih tinggi kepada Selangor berikutan ada ramai penduduk di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata suntikan pelalian penting bagi mengurangkan risiko jangkitan dan gejala lebih teruk seperti kesesakan nafas.

“Jumlah agihan vaksin di luar kawalan Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan tentukan mengikut fasa kerana bekalan dari luar negara.

“Selangor hanya sokong dari segi penyediaan pusat pemberian vaksin (PPV), namun saya setuju agihan lewat kerana hanya 3.3 peratus penduduk negeri ini divaksin setakat 17 Mei,” katanya pada program bual bicara secara langsung di Facebook.

Kerajaan Negeri merancang untuk membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 demi memenuhi keperluan warga tempatan selain pekerja asing.

Urusan pembelian 2.5 juta dos vaksin untuk kira-kira 1.25 juta penduduk negeri ini kini pada peringkat akhir dan proses pembelian dijangka dimuktamad pada bulan depan.

Sementara itu, ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor Dr Helmi Zakariah berkata kes di negeri ini tinggi berikutan bilangan penduduk yang ramai.

“Logik kes di Selangor tinggi bukan sahaja Covid-19 tetapi termasuk penyakit lain seperti denggi dan kencing manis kerana populasinya banyak.

“Tetapi saringan berterusan membantu kita untuk mengawal perebakan. Biar kes tinggi tetapi jumlah kematian penduduk rendah dan strategi itu berhasil,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Mesej tular Selangor beri vaksin Sinovac kepada penduduk palsu

SHAH ALAM, 17 MEI: EXCO kesihatan awam menafikan mesej tular di aplikasi WhatsApp berkaitan pemberian vaksin Sinovac kepada penduduk negeri ini.

Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan kenyataan atau pengumuman rasmi mengenai vaksin hanya dikeluarkan Dato’ Menteri Besar atau beliau sahaja.

“Saya ingin menegaskan bahawa mesej tular tersebut adalah palsu dan tidak benar.

“Segala kenyataan atau pengumuman rasmi berkenaan vaksin Covid-19 di Selangor hanya akan dikeluarkan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari atau saya sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut berkongsi tangkap layar mesej tular yang mendakwa Kerajaan Negeri memberikan 500,000 vaksin Sinovac tambahan kepada rakyat Selangor.

Ahli Dewan Seri Serdang juga meminta penduduk negeri ini mendapatkan maklumat yang sahih melalui platform media sosial menerusi:

1. Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari

2. Facebook Dr Siti Mariah

3. Facebook Selangor Task Force Covid 19

4. Facebook Media Selangor

Pada 5 Mei, Dr Siti Mariah berkata pembelian vaksin Covid-19 dirancang Kerajaan Negeri untuk kegunaan rakyat tidak dapat dilakukan selagi keperluan kerajaan persekutuan belum dipenuhi.

Pada 18 Januari, Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin dan usaha itu disambut baik kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk tujuan itu bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 

Categories
BERITA UTAMA

Masyarakat diseru manfaat Saringan Komuniti, halang Covid-19 merebak

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 bertujuan untuk menghalang wabak merebak dengan lebih parah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat perlu mengambil peluang tersebut kerana program itu adalah percuma.

“Kerajaan Selangor giat buat saringan di komuniti sebab itu kes semakin meningkat. Misi kita adalah untuk memastikan virus ini tidak menular dan dapat dicegah awal,” katanya menerusi rancangan bual bicara Piknik Keluarga Maya di Facebook semalam.

Menurutnya, orang ramai juga perlu memberi kerjasama kepada petugas kesihatan dengan memanfaatkan program berkenaan di kawasan mereka.

“Yang penting adalah kerjasama, kita perlu bersama memutuskan rantaian wabak ini, jangan panik terus patuhi tatacara operasi piawai (SOP)” tambahnya.

Selangor melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 sejak 12 April lalu bermula di Hulu Langat. Terdapat dua pelaksanaan iaitu pandu lalu dan pemeriksaan ke kawasan komuniti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO saran hukum individu tipu status kesihatan Covid-19

SHAH ALAM, 28 DIS: Individu yang menyembunyikan status kesihatan Covid-19 sehingga menyebabkan penularan boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata saranan itu dapat memastikan petugas barisan hadapan terhindar jangkitan memandangkan mereka merupakan kelompok penting berdepan virus itu.

“Barisan hadapan kita perlu dilindungi. Mungkin sebelum berjumpa doktor atau mendapat rawatan, pesakit perlu mengisi borang deklarasi tidak bergejala.

“Pengambilan suhu badan dan pertanyaan lisan sahaja tidak mencukupi. Individu yang berbohong boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu masyarakat agar tidak menipu petugas kesihatan dengan menyembunyikan status kesihatan mereka ketika datang mendapatkan rawatan atau untuk saringan Covid-19.

Ia susulan perkongsian seorang doktor menerusi Facebook mengenai tindakan pesakit menipu ketika menjalani saringan kesihatan menyebabkan beliau menjadi mangsa wabak.

Pada 22 Disember lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan 1,880 petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 menerusi saringan yang dibuat setakat 15 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ditumbuk isteri antara 30 kes keganasan rumah tangga libat lelaki

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak 30 kes lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga antara Januari sehingga September lalu.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata data itu diperoleh daripada statistik Unit Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

“Antara bentuk keganasan ialah ada antara mereka ditumbuk, malah ada juga dipukul dengan tali pinggang,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita 2020 di Dewan Annex hari ini.

Menjelaskan kebanyakan mangsa membuat laporan polis atau aduan kepada JKM, beliau menjelaskan isu keganasan rumah tangga berlaku apabila salah seorang dalam keluarga memiliki sifat dominan.

“Disebabkan itu ada kes isteri pukul suami,” kata beliau.

Dr Mariah berkata peningkatan mendadak kes sedemikian di negeri ini berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga PKP Bersyarat (PKPB) berdasarkan data Organisasi Pertolongan Wanita (WAO).

“Sebanyak 4,872 panggilan diterima menerusi panggilan dan WhatsApp WAO dan talian ‘Think I Need Aid’,” katanya.

Selain lelaki, JKM melaporkan seramai 224 mangsa keganasan rumah tangga turut membabitkan wanita.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rakyat perlu patuh SOP, hanya keluar jika perlu – EXCO

SHAH ALAM, 20 OKT: EXCO kesihatan menggesa rakyat terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) susulan jangkitan Covid-19 masih merekodkan bilangan kes melebihi 800.

Exco kesihatan berkata pematuhan SOP perlu dilaksanakan rakyat secara menyeluruh  tanpa mengira zon kerana wabak itu kini mula merebak dalam komuniti.

“Ini kerana wabak berkenaan sudah berada dalam komuniti kita, orang ramai juga tidak digalakkan keluar sekiranya tiada urusan mendesak, keluar bila perlu sahaja.

“Tidak dinafikan saya lihat masih ramai yang leka dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sepatutnya penduduk perlu membayangkan situasi sama seperti PKP pada Mac lalu, hadkan pergerakan anda,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 865 kes baharu Covid-19, kali ketiga berturut-turut merekodkan bilangan kes melebihi 800 dengan 871 kes pada 18 Oktober dan 869 kes pada 17 Oktober.

Manakala Selangor merekodkan 107 kes baharu, juga merekodkan peningkatan berbanding 77 kes kelmarin.

Categories
EXCO SELANGOR

Exco bimbang pelitup muka terbuang sekat sistem saliran

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tindakan membuang pelitup muka merata tempat dibimbangi menjadi punca sekatan sistem saliran, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan pelitup muka sepatutnya dibungkus rapi dan dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Sebelum ini plastik menjadi punca utama sampah yang menyebabkan sistem saliran tersekat dan kita bimbang pelitup muka akan menggantikan plastik pula.

“Seperti sampah-sampah yang lain, ia perlu dibuang ke tempat sepatutnya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga menyaran orang awam menyimpan pelitup muka terpakai dalam beg khas sebelum dibuang, selain menggalakkan penggunaan pelitup muka guna semula.

Bermula 1 Ogos lalu, Majlis Keselamatan Negara mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat sesak dan pengangkutan awam.

Categories
SELANGOR

Jangan bagi perut terkejut di Aidilfitri – EXCO Kesihatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 JUN: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga menasihatkan penduduk di negeri ini supaya tidak membuat kejutan terhadap perut masing-masing di Aidilfitri.

Siti Mariah Mahmud melalui laman facebooknya berkata, pesanan melalui Public Health Malaysia turut memaklumkan makanan yang masuk mengejut tanpa kawalan akan menyebabkan cirit birit dah loya.

“Oleh sebab itu digalakkan makan makanan yang mempunyai sumber karbohidrat terlebih dahulu seperti lemang atau nasi impit dan kunyah makanan perlahan-lahan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya makan dalam jumlah kuantiti sedikit tetapi kerap, sebaiknya elak minuman berkarbonat dan kopi,” katanya.

Pada masa sama Siti Mariah berkata, Public Health Malaysia turut menggalakkan orang ramai mengelakkan makan buah berasid seperti limau, anggur dan tomato.