Categories
SELANGOR

Raja Muda Selangor: Beri peluang anak muda suarakan pendapat

SHAH ALAM, 12 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berpandangan golongan dewasa dan pemimpin perlu memberi peluang kepada anak muda untuk menyuarakan pendapat.

Tengku Amir Shah bertitah sekiranya ia disekat dan tanggungjawab tidak diberikan kepada mereka, golongan ini dikhuatiri tidak mengetahui cara menyelesaikan masalah.

“Orang dewasa perlu berfikiran terbuka dalam menilai golongan muda. Jangan fikir mereka terlalu muda, tiada pengalaman dan tidak tahu apa yang mereka buat.

“Adalah tugas mereka yang lebih dewasa untuk membenarkan anak muda ini belajar dari pengalaman,” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah demikian menerusi bual bicara ‘Kepimpinan Belia: Peranan Belia dalam Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Baginda turut memberi contoh di mana majikan boleh memberi peluang kepada pelajar latihan industri menonjolkan diri dengan memberi idea dan buah fikiran ketika bermesyuarat.

“Ini adalah peluang untuk mereka menyinar. Melalui cara ini mereka akan meraih pengalaman dan kemahiran cara bercakap, cara menyampaikan idea,” titah baginda lagi.

Tengku Amir juga berpandangan kepimpinan adalah sesuatu yang perlu digilap dan institusi pendidikan adalah tempat yang memberi peluang kepada anak muda untuk belajar kemahiran kepimpinan.

“Cikgu, pensyarah dan ibu bapa haruslah memberi sokongan dengan menyediakan persekitaran yang mendukung anak muda menyatakan idea, pendapatan dan membolehkan mereka berfikir di luar kotak,” titah baginda.