Categories
SELANGOR

Raja Muda Selangor: Beri peluang anak muda suarakan pendapat

SHAH ALAM, 12 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berpandangan golongan dewasa dan pemimpin perlu memberi peluang kepada anak muda untuk menyuarakan pendapat.

Tengku Amir Shah bertitah sekiranya ia disekat dan tanggungjawab tidak diberikan kepada mereka, golongan ini dikhuatiri tidak mengetahui cara menyelesaikan masalah.

“Orang dewasa perlu berfikiran terbuka dalam menilai golongan muda. Jangan fikir mereka terlalu muda, tiada pengalaman dan tidak tahu apa yang mereka buat.

“Adalah tugas mereka yang lebih dewasa untuk membenarkan anak muda ini belajar dari pengalaman,” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah demikian menerusi bual bicara ‘Kepimpinan Belia: Peranan Belia dalam Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Baginda turut memberi contoh di mana majikan boleh memberi peluang kepada pelajar latihan industri menonjolkan diri dengan memberi idea dan buah fikiran ketika bermesyuarat.

“Ini adalah peluang untuk mereka menyinar. Melalui cara ini mereka akan meraih pengalaman dan kemahiran cara bercakap, cara menyampaikan idea,” titah baginda lagi.

Tengku Amir juga berpandangan kepimpinan adalah sesuatu yang perlu digilap dan institusi pendidikan adalah tempat yang memberi peluang kepada anak muda untuk belajar kemahiran kepimpinan.

“Cikgu, pensyarah dan ibu bapa haruslah memberi sokongan dengan menyediakan persekitaran yang mendukung anak muda menyatakan idea, pendapatan dan membolehkan mereka berfikir di luar kotak,” titah baginda.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYTM Tengku Amir Shah pilih peserta terbaik Liga Usahawan OKU

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memilih tiga peserta terbaik pada pusingan akhir Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor hari ini.

Mereka terdiri daripada pengusaha baja kompos dan makanan haiwan, Abdul Rahim Muda, 32; pengusaha bengkel kenderaan, Md Rizuan Rahim, 33, serta pengusaha kelas jahitan dalam talian dan buku pola jahitan, Zaim Zazami Ibrahim, 35.

“Anda semua memiliki idea yang sangat unik malah mengusahakan perniagaan yang berpotensi tinggi. Beta percaya, sekiranya anda terus bekerja keras, yakin dengan diri sendiri maka tidak mustahil anda akan berjaya dalam bidang diceburi.

“Selamat maju jaya dan tahniah kepada semua peserta akhir kerana memberi sepenuh komitmen sepanjang mengikuti kursus perniagaan bersama Selangor Youth Community Leadership, Entrepreneurship, Accelaration and Development (SAY LEAD),” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah demikian selepas berkenan menyampaikan piala dan sijil pengiktirafan kepada usahawan terbabit di Hotel Concorde di sini.

Kemenangan itu turut melayakkan mereka menerima manfaat ruang kerja selama setahun dengan kerjasama bahagian pembangunan usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan geran pembungkusan daripada Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Selain itu, mereka berpeluang mendapat program bimbingan tambahan selama setahun untuk membantu mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baharu, digitalisasi perniagaan serta pasaran eksport.

Terdahulu, baginda antara lima juri mengadili 10 usahawan OKU membuat pembentangan pada pusingan akhir liga anjuran organisasi diasaskan Tengku Amir Shah.

Penilaian turut dilakukan Ahli Dewan Negara dan wakil OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Siti Zubaidah Abd Jabar, pakar bidang khusus Smart State Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Pengurus Besar Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari.

Program SAY LEAD berlangsung enam bulan sejak November tahun lalu membabitkan 20 peserta.

Kesemua mereka menjalani kursus perniagaan merangkumi profil keusahawanan, pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, inovasi perniagaan dan lawatan premis usahawan, kursus komunikasi perniagaan dan profil serta kolaborasi bersama pemegang taruh.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS berkenan sertai perbarisan Jubli Emas 17 RAMD

SHAH ALAM, 3 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyertai Perbarisan Hari Ulang Tahun Jubli Emas 17 RAMD (Para) 2020 di Padang Kawad Pasukan, Kem Terendak, Melaka kelmarin.

Selangor Royal Office menerusi Facebook memaklumkan Batalion Ke-17 RAMD (Para) adalah unit pertama disertai Tengku Amir sejurus menamatkan latihan selaku Pegawai Kadet di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.

“Batalion ini mencecah usia 50 tahun pada tahun ini sejak ditubuhkan 1 Ogos 1970.

“Baginda mula berkhimat di batalion ini pada 2016 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Platun Rintis Serang (RINSER),” katanya menerusi kenyataan semalam.

Baginda turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Jubli Emas kepada semua warga pasukan, mantan Pegawai Memerintah, veteran pasukan serta mereka yang pernah terlibat dan berkhidmat dalam pasukan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

RMS berkenan sertai RMSIR edisi ke-30

PELABUHAN KLANG, 15 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan untuk bersama-sama menyertai The Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) bagi edisi ke-30.

Berlangsung selama sembilan hari bermula 16 sehingga 23 November, baginda yang menyertai pertandingan ini buat kali kedua akan menggunakan kapal layar ‘Fujin’.

Pengurus Jabatan Acara dan Pelancongan Fokus Tourism Selangor, M Faroul Mustaffa berkata, penyertaan Tengku Amir Shah akan menyerikan lagi saingan kali ini yang bermula di Pelabuhan Klang dan berakhir di Pulau Langkawi.

“Ini merupakan kali kedua tuanku menyertai kejohanan dan tahun lalu baginda hanua menyertai perlumbaan di Pulai Pinang.

“Namun, tahun ini baginda akan bermula di Pelabuhan Klang dan akan berlayar melalui semua ‘check point’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan The Raja Muda Selangor International Regatta Kali Ke-30 di Kelab Kapal Layar Diraja Selangor, di Pelabuhan Klang, hari ini.

M Faroul berkata, edisi kali ini turut mempromosikan budaya dan adat resam diamalkan di Selangor buat semua peserta sepanjang empat hari di sini

Sebanyak 320 pelayar membabitkan 72 pasukan dari 34 negara akan mengambil bahagian.

Empat ‘check point’ edisi kali ini adalah Pelabuhan Klang, Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan paling sukar di Asia Tenggara hasil ilham Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.