Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lulus 405 permohonan bantuan khas anak OKU

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 405 pemohonan bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS) telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga Julai 2021, maklum EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata permohonan yang diluluskan itu merangkumi kategori pendidikan dengan 322 pemohonan dalam proses pembayaran terus ke pusat pendidikan.

Manakala kategori peralatan, sebanyak 83 pemohonan dalam proses pembelian peralatan dan akan dihantar terus kepada pemohon.

Menurut beliau, jumlah 405 permohonan yang diluluskan itu adalah daripada 2,817 permohonan yang dibuat menerusi dalam talian dengan 2,234 permohonan telah ditolak dan 209 masih dalam proses semakan.

“Antara sebab permohonan berkenaan ditolak adalah berikutan tiada sebarang penghantaran dokumen dibuat sehingga tarikh akhir permohonan.

“Serta tidak melengkapkan dokumen sehingga tarikh akhir penghantaran dokumen dan tidak memenuhi syarat permohonan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Permatang, Rozana Zainal Abidin mengenai jumlah penerima bantuan AnIS serta jumlah permohonan bantuan berkenaan.