Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh lagi kluster baharu di Selangor, enam babit tempat kerja

SHAH ALAM, 24 OGOS: Selangor merekodkan tujuh lagi kluster baharu Covid-19 hari ini dengan enam daripadanya adalah kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah menerusi kenyataan memaklumkan baki kluster, kumpulan berisiko tinggi iaitu kluster Lorong Haji Mughni dikesan di Klang.

Empat daripada enam kluster tempat kerja itu ialah kluster Tapak Bina Bukit Mahkota dan Industri Jalan P/2A di Hulu Langat, kluster Tapak Bina Jalan Tampin di Klang serta kluster Tapak Bina Jalan Lapan Olak Lempit di Kuala Langat dan Klang.

Manakala dua lagi, kluster Industri Jalan Puchong Kajang di Sepang dan Petaling serta kluster Industri Meranti Permai Satu di Petaling, Sepang dan Hulu Langat.

Terdapat 303 kes positif dikesan daripada tujuh kluster berkenaan melalui hasil saringan terhadap 580 individu.

Hari ini, Selangor mencatatkan 4,645 kes baharu Covid-19 dengan 36 kematian iaitu 34 kes di hospital manakala dua lagi maut sebelum tiba di hospital (BID).