Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat: Urusan jenazah percuma tetapi waris diperdaya bayar RM700

SHAH ALAM, 4 OGOS: Meskipun pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Selangor percuma, namun ada pihak dikesan mengenakan caj RM700 kepada waris hanya untuk tayamum dan solat.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kegiatan itu berlaku ketika waris dalam kesedihan kerana tidak dapat melihat, menyentuh mahupun menguruskan sendiri jenazah ahli keluarga mereka.

“Semasa inilah kartel jenazah akan mengambil kesempatan menyantuni waris di hospital kerana dalam fikiran waris sedang bersedih dan hanya mahu memastikan jenazah yang disayangi dikebumikan segera.

“Mohon Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) siasat,” kata Azmizam Zaman Huri di Facebooknya hari ini.

Beliau turut memperincikan kos sebenar pengurusan mayat pesakit Covid-19 iaitu RM15 bagi sebotol debu tayamum manakala sut perlindungan diri dan beg mayat diberi percuma oleh hospital.

Selain itu, katanya, solat jenazah perlu dibuat secara ikhlas selain proses nyahkuman dilakukan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 2 Ogos, Jais mengumumkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu.