Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor tampil bantu bekas atlet snuker hilang pendapatan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu bekas pemain snuker kebangsaan yang berdepan masalah kewangan susulan pandemik Covid-19.

Agensi berkata pihaknya menghulurkan sumbangan makanan kepada Mohd Nazri Mustaffa atau lebih dikenali Kechik Kuantan sebagai bantuan awal.

“Bantuan asas lain melibatkan kewangan dan makanan bulanan akan menyusul selepas ini. LZS menjejaki Mohd Nazri selepas kisahnya dipaparkan di Buletin Utama TV3.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat kerana bayaran anda memanfaatkan mereka yang memerlukan,” kata LZS di Facebook.

Terdahulu Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Mohd Sabirin Mohd Sarbini menziarahi kediaman Mohd Nazri di Klang.

LZS berkata Mohd Nazri ,35, terpaksa menutup akademi snukernya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi membendung wabak Covid-19.

“Aset rumah dan kereta terpaksa digadaikan demi meneruskan kelangsungan hidup bersama dua anak berusia tiga dan lima tahun.

“Mohd Nazri melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung hidup sepanjang pandemik ini namun semuanya gagal dan kini berharap ehsan rakan,” kata agensi.