Categories
ADN SELANGOR

ADN Taman Templer: Beri vaksin kepada warga asing untuk elak penularan wabak

SELAYANG, 24 SEPT: Pemberian suntikan pelalian kepada individu warga asing adalah wajar demi membendung penularan wabak Covid-19, kata Wakil rakyat Taman Templer.

Sany Hamzan berkata sambutan program Vaksin Selangor (Selvax) dalam kalangan warga asing juga amat menggalakkan.

“Kita amat menggalakkan warga asing divaksinasi, jangan ada kompromi kerana mereka ibarat sudah hidup dengan kita, di mana-mana sahaja akan terserempak sama ada restoran, masjid mahupun pasaraya.

“Tiada guna jika kita sahaja disuntik tetapi mereka tidak..bimbang nanti kes Covid-19 semakin parah disebabkan kita tidak beri mereka vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Taman Templer di Dataran Ilmu di sini semalam.

Menurut Sany sambutan amat menggalakkan apabila orang ramai sama ada warganegara dan warga asing sanggup beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan vaksin negeri.

Jelas beliau, sebanyak 700 dos pelalian diperuntukkan dan terbuka kepada semua individu sama ada sekitar Selayang atau kawasan berhampiran.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.