Categories
AGENDA NASIONAL

Selalu dengar keburukan vaksin, anak lega ibu akhirnya setuju disuntik

PUCHONG, 28 SEPT: Seorang anak berasa lega apabila ibunya bersetuju menerima vaksin di program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kinrara semalam.

M Suraish, 38, berkata ibunya M Achutha Devi, 58, risau kerana sering mendengar berita berkaitan kesan vaksin yang diceritakan rakan-rakannya.

M Suraish

“Saya memujuk dan menerangkan kepada ibu pentingnya mengambil suntikan dalam mencegah jangkitan Covid-19.

“Akhirnya ibu menerima penjelasan yang diberikan dan bertambah yakin selepas dinasihati doktor sebelum disuntik,” katanya.

Manakala Nurul Adani Jamaluddin, 18, berkata beliau menunggu giliran suntikan menerusi MySejahtera sejak beberapa bulan tetapi tidak mendapat janji temu.

Nurul Adani Jamaluddin

“Saya perlu mengambil suntikan kerana pulang ke kampus pada November untuk melanjutkan pelajaran.

“Perasaan sangat bersyukur apabila pendaftaran menerusi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) amat mudah dan terus dapat vaksin,” katanya.

Bong Ming Zi

Bagi Bong Ming Zi, 22, mengambil vaksin menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam mengekang penularan wabak.

“Ibu saudara memaklumkan tentang program ini dan saya terus buat keputusan untuk hadir walaupun menaiki Grab,” katanya.

Sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Selvax bergerak DUN Kinrara yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1 semalam.

Categories
ADN SELANGOR

200 dos vaksin bergerak DUN Kinrara habis dalam tempoh empat jam

PUCHONG, 27 SEPT: Kira-kira 200 dos vaksin habis diberikan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara dalam tempoh empat jam menerusi Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

Penyelaras Selgate Aznil Nor Rashed berkata biarpun sambutan positif diterima keadaan masih terkawal dengan penduduk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Penyelaras Selgate, Aznil Nor Rashed

“Kebanyakan penduduk menunggu seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan giliran vaksin. Bagi DUN Kinrara kita menyediakan dua vaksinator untuk proses suntikan kepada penduduk.

“Setakat jam 1 tengah hari 60 peratus daripada warga asing hadir untuk mendapatkan suntikan pelalian dan selebihnya merupakan warga tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Aznil dos kedua berlangsung pada 18 Oktober hadapan di kawasan yang sama.

Terdahulu sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Selvax bergerak DUN Kinrara.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata suntikan terbuka kepada semua individu termasuk warga asing yang berusia 18 tahun ke atas.

Selvax bergerak DUN Kinrara berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1.

Categories
SELANGOR

Walau hanya duduk dirumah, OKU tetap ambil vaksin Covid-19

KLANG, 26 SEPT: Mahu adakan perjumpaan keluarga dengan selamat mendorong seorang wanita membawa kakaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan mengambil vaksin Covid-19.

Siti Fitrina Sukerman, 29, berkata hanya kakaknya, Siti Maziah, 49, sahaja yang belum menerima suntikan pelalian itu daripada semua sembilan adik beradiknya.

“Mujur ada program vaksin bergerak ini, jadi hari ini saya bawa kakak daftar dan terus ambil suntikan dos pertama.

“Walaupun dia tak bekerja dan hanya duduk di rumah tapi kami tetap mahu kakak ambil vaksin supaya lebih selamat bila buat perjumpaan keluarga,” katanya ketika ditemui pada program Selangor Vaksin (Selvax) bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini.

T. Sandra Suria, 37

Bagi ketua kawalan kualiti, T Sandra Suria, 37 pula, dia membawa ibunya V Yasoday, 64, mengambil vaksin bagi memastikan ibunya dilindungi walaupun hanya duduk di rumah.

“Sebagai anak kita takut sekiranya berlaku perkara tidak diingini memandangkan kami keluar masuk rumah untuk bekerja. Jadi adalah lebih baik dia juga menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja syarikat perkapalan, Siti Fitrina Sukerman, 29, berkata dia mengambil vaksin bagi memastikan keselamatan diri di tempat kerja.

“Suntikan jadi satu keperluan kerana semua staf bekerja secara berkumpulan, saya hadir bersama 13 rakan lain dan kini semua orang di tempat kerja kami telah divaksin,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Taman Templer: Beri vaksin kepada warga asing untuk elak penularan wabak

SELAYANG, 24 SEPT: Pemberian suntikan pelalian kepada individu warga asing adalah wajar demi membendung penularan wabak Covid-19, kata Wakil rakyat Taman Templer.

Sany Hamzan berkata sambutan program Vaksin Selangor (Selvax) dalam kalangan warga asing juga amat menggalakkan.

“Kita amat menggalakkan warga asing divaksinasi, jangan ada kompromi kerana mereka ibarat sudah hidup dengan kita, di mana-mana sahaja akan terserempak sama ada restoran, masjid mahupun pasaraya.

“Tiada guna jika kita sahaja disuntik tetapi mereka tidak..bimbang nanti kes Covid-19 semakin parah disebabkan kita tidak beri mereka vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Taman Templer di Dataran Ilmu di sini semalam.

Menurut Sany sambutan amat menggalakkan apabila orang ramai sama ada warganegara dan warga asing sanggup beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan vaksin negeri.

Jelas beliau, sebanyak 700 dos pelalian diperuntukkan dan terbuka kepada semua individu sama ada sekitar Selayang atau kawasan berhampiran.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing harap dapat jumpa anak selepas lengkap vaksin

KLANG, 23 SEPT: Rindu kepada anak tunggal mendorong seorang pekerja warga Indonesia menerima suntikan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru semalam.

Puewati Ayu, 37, berkata dia dan suami meninggalkan Sulawesi, Indonesia empat tahun lalu untuk bekerja di negara ini dan sejak itu tidak bertemu anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

Puewati Ayu

“Kami sangat rindukan dia satu-satunya anak yang kami ada, saya harap apabila selesai divaksinasi kerajaan membenarkan aktiviti merentas ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, warga Bangladesh Muhammad Azal Hassain, 33, berharap dia boleh bekerja seperti biasa selepas lengkap dos suntikan.

Muhammad Azal Hassain

“Hampir lima bulan tidak bekerja kerana majikan tidak benarkan pekerjanya yang belum divaksin untuk bertugas kerana bimbang menjadi punca penularan wabak Covid-19,” katanya.

Manakala, warga Indonesia Edi Triano, 26, berkata dia mengambil vaksin untuk melindungi diri dan orang sekeliling.

Edi Triano

“Sebelum ini tidak tahu wujudnya Selvax bergerak tetapi selepas rakan maklumkan mengenai program ini saya terus hadir hari ini untuk menerima dos pertama,” katanya.

Sebanyak 700 dos pelalian disediakan melalui Selvax bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang semalam.

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata seramai 700 individu selesai menerima suntikan dos pertama dengan sebahagian besarnya membabitkan pekerja asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua remaja ambil program vaksin bergerak untuk belajar bersemuka

SHAH ALAM, 19 SEPT: Dua remaja perempuan berusia 18 tahun memanfaatkan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bagi memudahkan sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

Wan Nurannatyalea Meor Kamarulzaman yang bakal menyambung pengajian di Kolej Komuniti Hulu Langat dalam jurusan pengoperasian perniagaan minggu depan berkata pihak pengurusan mewajibkan semua pelajar mengambil dua dos vaksin sebelum dibenarkan ke kampus.

Wan Nurannatyalea Meor Kamarulzaman

“Walaupun pembelajaran bersemuka hanya dibenarkan bermula pertengahan bulan depan tetapi saya akan mendaftar sebagai pelajar baru pada 22 September ini dan mungkin akan belajar dalam talian dulu.

“Disebabkan itu, saya perlu ambil vaksin dan secara kebetulan ibu beritahu ada program pemberian vaksin percuma berhampiran rumah hari ini selepas dia melihat status seorang rakannya di Facebook.

“Ibu segera membawa saya ke sini tanpa janji temu (walk-in) untuk mengambil dos pertama,” katanya yang merupakan antara 300 penghuni Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 menerima pelalian menerusi Selvax bergerak hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik berkata sebelum ini dia pernah mendaftar melalui sistem MySejahtera, namun tidak menerima sebarang slot janji temu kerana berkemungkinan belum mencapai usia 18 tahun.

“Ketika itu, saya belum cukup 18 tahun, tetapi sekarang sudah. Sepanjang tempoh menunggu memang saya risau sangat sebab tarikh mendaftar belajar semakin hampir.

“Alhamdulillah, akhirnya hari ini saya berpeluang mendapat vaksin. Prosesnya sangat cepat dan yang penting tidak sabar menunggu dos kedua,” katanya.

Sofea Jasmin Puteri Hisham

Sementara itu, Sofea Jasmin Puteri Hisham yang akan memulakan semester kedua pengajian di Kolej Tingkatan Enam Seksyen 24 bulan depan bersyukur kerana diberi peluang menerima vaksin melalui program tersebut.

“Seronok bila sudah vaksin walaupun perlu tunggu tiga minggu lagi untuk dos kedua. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu menunggu lebih lama kerana panggilan daripada MySejahtera belum diterima sampai sekarang.

“Selepas ini nak belajar pun rasa selamat sebab saya sudah bosan belajar dalam talian. Saya seorang yang susah untuk fokus dalam kelas, tetapi belajar secara bersemuka lebih selesa,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Individu belum terima pelalian digalak hadir program vaksin bergerak

SHAH ALAM, 12 SEPT: Orang ramai yang belum menerima vaksin Covid-19 digalak hadir ke program vaksin bergerak bagi mendapatkan suntikan secara percuma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu dibuka kepada penduduk negeri ini termasuk kepada warga asing.

“Bagi sesiapa yang menetap di Selangor dan masih belum menerima vaksin Covid-19, program vaksin bergerak disediakan termasuk untuk bukan warganegara.

“Sila hadir mengikut lokasi serta tarikh yang ditetapkan. Pemberian vaksin adalah percuma,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menerusi perkongsian info grafik, terdapat 11 lokasi terpilih di mana 10 sahaja tempat pemberian vaksin (PPV) yang tinggal selepas lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru selesai jam 5 petang tadi.

10 DUN selepas ini adalah DUN Batu Tiga dan Tanjung Sepat pada esok, Hulu Bernam (14 September), Gombak Setia (15 September), Bukit Antarabangsa dan Batang Kali (16 September), Banting dan Teratai (17 September), Dengkil dan Kampung Tunku (18 September).

Pada 9 September EXCO kesihatan berkata PPV secara mobil itu akan bergerak ke seluruh DUN dan parlimen.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata program vaksin bergerak itu bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Golongan rentan belum terima vaksin diseru segera daftar Selvax

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penduduk Selangor dalam golongan rentan yang belum menerima vaksin diseru melakukan pendaftaran menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan menghubungi individu yang mendaftar bagi membolehkan mereka menerima pelalian itu dengan kadar segera.

“Jika anda, keluarga atau rakan terdekat dalam kategori individu yang terlantar di rumah kerana keuzuran, tidak mampu hadir ke pusat vaksinasi dan belum menerima vaksin mohon isikan borang di pautan http://bit.ly/selvaxmobile,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata golongan ini juga boleh mengimbas kod QR yang tertera pada poster yang dikongsikan di Facebook bagi membolehkan orang ramai membuat pendaftaran.

“Pihak kami akan menghubungi anda dengan kadar segera. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 011-5755 1754,” katanya.

Pada 24 Ogos, Dr Siti Mariah memaklumkan program vaksin bergerak anjuran Kerajaan Negeri dijadualkan bermula bulan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima suntikan pelalian.

Katanya, klinik bergerak akan ditempatkan di sesuatu lokasi berpandukan maklum balas jumlah individu belum divaksin dari komuniti serta wakil rakyat di samping Klinik Selcare terus memberi suntikan kepada penerima yang datang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Empat bulan tunggu janji temu, bapa lega anak OKU dapat vaksin

PETALING JAYA, 6 SEPT: Seorang bapa lega apabila penantian selama empat bulan untuk anaknya dari kategori orang kelainan upaya (OKU) sindrom down mendapat vaksin Covid-19 berakhir selepas menerima suntikan semalam.

Menurut Prof Madya Dr Abdul Rahman Chik, 67, anak perempuanya Raihanah, 36 menerima suntikan pelalian menerusi program vaksin bergerak di Kampung Sungai Kayu Ara anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama dan Pusat Kesihatan Daerah Petaling

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya pada 5 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya sudah memohon vaksin untuk Raihanah sejak Jun lalu namun hampa kerana tidak mendapat tarikh janji temu. Selepas mendapat tahu ada program ini, saya datang dan Raihanah terus dibenarkan mendapat vaksin, syukur kerana akhirnya usaha serta penantian kami berakhir.

“Vaksin ini sebagai perlindungan lebih-lebih keadaan Raihanah memerlukan kami membawanya ke mana sahaja, kalau tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan atas faktor keselamatan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Ida Salimai, 52

Seorang warga Indonesia, Ida Salimai, 52, berterima kasih kepada PKM DUN Bandar Utama yang menyediakan inisiatif berkenaan yang memudahkan golongan kurang berkemampuan.

“Saya perlu lengkap vaksin supaya boleh kembali bekerja sebagai pembantu rumah, sudah beberapa bulan tidak kerja…ada juga saya ke pusat vaksin tetapi gagal disuntik.

“Semoga bila saya lengkap vaksin nanti boleh bekerja dan cari rezeki seperti biasa,” katanya berasal dari Bali.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bandar Utama mulakan vaksin bergerak, sasar 1,000 penduduk

PETALING JAYA, 4 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama memulakan suntikan vaksin secara mobil di Kampung Sungai Kayu Ara hari ini.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program selama dua hari menyasarkan seramai 1,000 penduduk, yang sebahagian besarnya merupakan warga asing.

“Program ini diadakan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan peserta perlu hadir ke Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara untuk divaksin.

“Kita minta mereka yang telah didaftarkan hadir mengikut slot janji temu dan membawa dokumen pengenalan diri masing-masing serta membawa pen sendiri bagi mengurangkan sentuhan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kit ujian air liur kepada lima wakil rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama di sini semalam.

Sementara itu, Jamaliah berkata sebahagian besar penduduk Bandar Utama terutama warga tempatan sudah menerima suntikan pelalian Covid-19.

Pada 24 Ogos, EXCO kesihatan awam memaklumkan Selangor dijadual memulakan program pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan tertentu mulai bulan ini.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan inisiatif itu bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

100,000 dos suntikan vaksin bergerak tumpu kelompok tercicir

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 100,000 dos khusus untuk pemberian vaksin secara bergerak yang menumpukan golongan yang belum mendaftar atau tercicir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha bagi melengkapkan imuniti kelompok juga tertumpu ke lokaliti memerlukan termasuk dalam kalangan warga asing.

“Tujuan untuk kita vaksinasi mereka supaya tiada risiko tinggi seperti kemasukan ke hospital atau dijangkiti sehingga kategori empat atau lima yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil pembelian 100,000 dos vaksin ini akan melengkapkan vaksinasi masyarakat negeri ini secara keseluruhan dalam tempoh dua bulan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memulakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di rumah jagaan warga emas dan golongan kelainan upaya.

Program mulai 8 Jun membabitkan sebanyak 16 pasukan bergerak bagi memastikan kedua-dua golongan tersebut menerima vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.