Categories
ADN SELANGOR

Beri nama kepada ketua kampung untuk sertai Selvax bergerak

SHAH ALAM, 13 SEPT: Orang ramai dinasihatkan supaya memberi nama kepada ketua kampung untuk menerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak berbanding mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Wakil rakyat Batu Tiga Rodziah Ismail berkata ketua kampung sudah mula mengumpul nama individu yang belum divaksin sejak dua minggu lepas, namun masih ada yang enggan bertindak.

“Ada daripada penduduk bertanya betul ke vaksin percuma serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Apabila program ini betul semua ambil kesempatan dan memotong barisan.

“Kerajaan Negeri serius mengadakan Selvax bergerak dengan memberikan vaksin percuma kepada penduduk,” katanya selepas meninjau program Selvax bergerak DUN Batu Tiga di Kompleks Padang Jawa hari ini.

Rodziah turut menyarankan supaya ketua kampung membuat bancian mencari individu yang masih tidak menerima suntikan pelalian.

“Apabila mempunyai senarai nama lebih mudah Kerajaan Negeri menyediakan vaksin. Vaksin memang ada tetapi kita perlu menguruskannya seperti penyediaan kaunter dan pendaftaran.

“Dengan memberi nama ketua kampung dapat membantu pendaftaran dan dapat melancarkan proses vaksin selain bekalan dibawa mencukupi,” katanya.

Program Selvax bergerak dari 9 pagi hingga 5 petang bermula semalam dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.

Selvax bergerak berlangsung selama seminggu itu melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang diteruskan ke DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.