Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

77 termasuk 11 wanita terima watikah pelantikan ketua kampung baru, bagan

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 77 individu termasuk 11 wanita menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi penggal 2022-2023 seluruh Selangor semalam.

Majlis penyampaian watikah disempurnakan EXCO Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Sze Han berkata daripada jumlah itu 22 merupakan lantikan baharu termasuk dua anak muda dari Kampung Baru Gurney, Batang Kali dan Kampung Baru Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu.

“Tahniah diucapkan kepada semua dan anda adalah wakil Kerajaan Negeri bagi memastikan Kampung Baru/Bagan dan Tersusun dapat membangun seiring dengan kepesatan pembangunan negeri.

“MPKK tidak lagi boleh dilihat sebagai hanya sebuah perantara akar umbi dan pihak berkuasa bagi penyelesaian isu semasa sebaliknya perlu berperanan sebagai penggerak bagi pembangunan sosial dan ekonomi di kampung masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sze Han turut menasihatkan individu yang baharu dilantik dapat menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan sentiasa merujuk dengan orang yang lebih berpengalaman bagi sebarang urusan berkaitan.

“Saya berharap anda dapat melantik segera biro MPKK termasuk turut melibatkan golongan muda supaya gerak kerja menjadi lebih tangkas dengan idea yang segar,” katanya.

Pada majlis sama, turut dilantik tujuh pegawai perhubungan perkampungan bagi penggal 2022-2023.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ketua kampung anggap amal jariah bantu orang ramai dapat vaksin

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerja sukarela mencari penduduk Kampung Padang Jawa yang belum divaksin dianggap amal jariah bagi memastikan kawasan itu bebas ancaman Covid-19, kata ketua kampungnya.

Fadzillah Hisham Ismail berkata gerak kerja bermula awal Ogos dibuat apabila pihaknya mendapat maklum balas masih ramai penduduk terutama warga asing belum menerima suntikan pelalian.

Jelasnya, ada antara mereka juga bimbang tidak dapat berjemaah di masjid dan meminta bantuannya sebagai pemimpin komuniti untuk mencari alternatif.

“Saya bawa kepada pihak atasan untuk pertimbangan, Alhamdulillah kampung kami dipilih untuk program Selvax bergerak yang memudahkan penduduk datang.

Pengerusi MPKK Kampung Padan Jawa, Fadzillah Hisham Ismail

“Kerja sukarela ini amal jariah kerana bantu mewujudkan keadaan selamat dan membolehkan orang ramai menjalani kehidupan seperti biasa termasuk solat di masjid,” katanya.

Fadzillah yang ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa hari ini menambah sebanyak 700 dos pelalian disediakan untuk menampung keperluan penduduk.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan program seperti ini yang memudahkan orang ramai mendapat vaksin,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
ADN SELANGOR

Beri nama kepada ketua kampung untuk sertai Selvax bergerak

SHAH ALAM, 13 SEPT: Orang ramai dinasihatkan supaya memberi nama kepada ketua kampung untuk menerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak berbanding mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Wakil rakyat Batu Tiga Rodziah Ismail berkata ketua kampung sudah mula mengumpul nama individu yang belum divaksin sejak dua minggu lepas, namun masih ada yang enggan bertindak.

“Ada daripada penduduk bertanya betul ke vaksin percuma serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Apabila program ini betul semua ambil kesempatan dan memotong barisan.

“Kerajaan Negeri serius mengadakan Selvax bergerak dengan memberikan vaksin percuma kepada penduduk,” katanya selepas meninjau program Selvax bergerak DUN Batu Tiga di Kompleks Padang Jawa hari ini.

Rodziah turut menyarankan supaya ketua kampung membuat bancian mencari individu yang masih tidak menerima suntikan pelalian.

“Apabila mempunyai senarai nama lebih mudah Kerajaan Negeri menyediakan vaksin. Vaksin memang ada tetapi kita perlu menguruskannya seperti penyediaan kaunter dan pendaftaran.

“Dengan memberi nama ketua kampung dapat membantu pendaftaran dan dapat melancarkan proses vaksin selain bekalan dibawa mencukupi,” katanya.

Program Selvax bergerak dari 9 pagi hingga 5 petang bermula semalam dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.

Selvax bergerak berlangsung selama seminggu itu melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang diteruskan ke DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Ketua kampung ronda elak penduduk putus bekalan makanan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pandemik Covid-19 tidak menghalang dua ketua kampung wanita menjalankan tanggungjawab menyalurkan bantuan kepada penduduk terputus bekalan makanan.

Salasiah Sahat, 45, berkata setiap hari rondaan dilakukan sekitar Kampung Parit 16, Binjai Jaya, Sungai Panjang bersama seorang ahli jawatankuasanya (AJK).

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan program bersama penduduk terhad. Jadi salah satu cara ialah melakukan rondaan di sekitar kampung yang mempunyai 472 kediaman.

Salasiah Sahat

“Setakat ini bekalan makanan mencukupi cuma ada juga penduduk yang mohon bantuan supaya membelikan keperluan kerana menjalani kuarantin,” katanya yang dilantik ketua kampung pada 2019.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Baharu Sabak Bernam, Azizah Samin, 57, berkata beliau mengagihkan 80 bungkusan makanan setiap Jumaat kepada pesakit Covid-19, warga emas dan ibu tunggal.

“Saya melakukan rondaan secara bersendiri setiap petang selain memberi khidmat penghantaran ke pusat vaksin kepada penduduk yang tiada kenderaan,” katanya.

Pada 1 April lalu EXCO perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan berkata penglibatan wanita dalam pembangunan negeri ini terus diperkasa dengan pelantikan ketua kampung meningkat kepada 16 orang.

Rodziah Ismail berkata pertambahan itu membuktikan Selangor sentiasa ke depan dengan tidak meletakkan gender sebagai syarat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB salur sumbangan RM155,000 kepada 33 masjid di Kuala Langat

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan sejumlah RM155,000 kepada 33 masjid di daerah ini.

Sumbangan disalurkan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap inisiatif itu menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah sejak perebakan Covid-19.

“Mungkin dana diberikan tidak cukup menampung keperluan setahun tetapi setidaknya dapat menampung keperluan sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Kuala Langat di Masjid At-Taqwa, Banting sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berbuka puasa bersama penjawat awam selepas penyerahan watikah pelantikan ketua kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Endah, Kuala Langat pada April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau kemudian menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Jubli Emas Kampung Endah.

Pada 23 April, Amirudin berkata hampir RM2 juta diperuntuk kepada semua masjid di Selangor sepanjang Ramadan.

Tambah beliau semua masjid di negeri ini menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO gesa ketua kampung kesan individu belum daftar vaksin

KUALA LANGAT, 8 APRIL: Ketua kampung seluruh negeri diminta mengumpul maklumat individu yang belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 di kawasan masing-masing.

EXCO pembangunan luar bandar berkata hebahan melalui poster, kain rentang, masjid dan surau turut dipergiat bersama pihak berkuasa tempatan bagi menggalakkan lebih ramai mendaftar.

“Saya minta ketua kampung bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk kumpul maklumat dan mengadakan kempen kesedaran.

“Sekiranya penduduk ada masalah capaian internet, ketua kampung bertanggungjawab membantu mereka untuk mendaftar,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) pada 4 April bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin termasuk warga emas dan Orang Asli.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Setakat 3 April, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia mendaftar program suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: 496 ketua kampung dapat perlindungan insurans

HULU LANGAT, 29 MAC: Seramai 496 ketua kampung di negeri ini mendapat perlindungan insurans sejak diperkenal Kerajaan Selangor tahun lalu.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Borhan Aman Shah berkata perlindungan termasuk kos rawatan di hospital akibat kemalangan.

“Jika mereka meninggal dunia akibat kemalangan pampasan yang diterima waris ialah RM15,000. Bagi kematian biasa pula layak menerima RM5,000.

“Selain itu, mereka juga menerima manfaat Kad Peduli Sihat. Kad ini untuk mereka menerima rawatan di klinik,” katanya.

Terdahulu, Borhan menyampaikan manfaat bantuan khairat kematian kepada waris ketua kampung di Kampung Sesapan Minangkabau di Beranang di sini.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan yang sama di Kampung Jalan Kebun di Shah Alam.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO galak golongan belia isi jawatan penghulu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Golongan muda di negeri ini digalak memohon jawatan penghulu bagi memenuhi 11 kekosongan susulan penyandang terdahulu bersara wajib.

EXCO Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Rodziah Ismail berkata permohonan boleh dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri menyarankan orang muda memikul jawatan sebagai penghulu seperti mana kita menggalakkan pelantikan dalam kalangan wanita.

“Bukan bermakna kita tidak menyokong pelantikan mereka yang berusia tetapi apa yang penting sesiapa sahaja yang dilantik perlu melaksanakan tugas dengan amanah serta berdedikasi,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kesatuan Penghulu Negeri Selangor di Hotel Concorde hari ini.

Pada 8 Jun, Rodziah berkata lebih ramai wanita bakal dilantik sebagai penghulu pada pemilihan baharu. Ketika ini, terdapat lima penghulu wanita daripada 371 kampung tradisi di Selangor, antara tertinggi di negara ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Ketua kampung, ahli majlis perlu lebih aktif

SHAH ALAM, 19 JUN: Ketua kampung dan ahli majlis di Selangor perlu bergerak lebih aktif ketika melaksanakan tanggungjawab, saran Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai wakil Kerajaan Negeri, mereka berperanan penting memelihara dan menjaga kehidupan masyarakat setempat.

“Saya berkesempatan bertemu pimpinan masyarakat seperti ketua kampung dan ahli majlis bagi memberi arahan baharu dan sokongan kepada mereka.

“Peranan pemimpin akar umbi termasuk aktivis amat penting sebagai wakil Kerajaan Negeri yang berdepan secara terus dengan masyarakat,” katanya pada program lawatan dan perbincangan bersama ketua masyarakat, yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang dan pegawai daerah Gombak pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Kampung Changkat Mukim Setapak Rosli Abd Ghani berkata Amirudin banyak memberi kata perangsang dalam pertemuan tersebut.

“Dato’ Menteri Besar juga mahu kami bertindak dan membantu Kerajaan Negeri melakukan yang terbaik. Pada pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM35,000 kepada tujuh ketua kampung mukim Setapak,” katanya.

Rosli berkata RM350,000 turut diperuntukkan bagi membaiki jalan dan sistem saliran untuk mengatasi banjir kilat di kawasan itu.

Categories
GLOBAL

Ketua kampung maut ditembak ketika solat witir di Narathiwat

 

NARATHIWAT, 3 Jun : Seorang ketua kampung maut manakala seorang lagi cedera ditembak ketika sedang menunaikan solat sunat witir di sebuah masjid di Daerah Rangae, Narathiwat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam (waktu tempatan), Ketua Kampung Awae, Fakrudin Tokdeng, 48, sedang solat bersama kira-kira 30 orang jemaah di sebuah masjid di kampung itu.

Seorang lagi jemaah, Mayudi Abu, 43, cedera akibat terkena peluru di bahagian paha.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata semua jemaah sedang sujud dan suspek yang menutup muka memasuki masjid dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek melepaskan dua das tembakan iaitu satu di bahagian kepala dan satu lagi belakang mangsa. Mangsa meninggal meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Rangae Kapt. Pol. Nathawat Keawhan berkata kira-kira tujuh bulan yang lalu, mangsa menerima ugutan bunuh apabila menerima bungkusan beras yang mengandungi empat butir peluru hidup di masjid yang sama.

“Mangsa ditembak dengan kejam menggunakan rifel AK47,” katanya.

Beliau berkata polis sedang menjejaki individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Mangsa yang meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak berusia 20 dan 16 tahun dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Awae.

Ini merupakan kes kedua kejadian tembak di masjid di Kampung Awae. Dua tahun lepas, Ketua Kampung Kuling, Daerah Yingo maut ditembak di salah sebuah masjid di kampung itu ketika solat subuh bersama jemaah lain. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor cadang sedia skim perlindungan Ketua Kampung

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Kerajaan Negeri bercadang menyediakan satu skim perlindungan kemalangan dan kesihatan kepada Ketua-ketua Kampung di Selangor pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, skim perlindungan itu dilaksanakan berikutan tanggungjawab dan cabaran besar dipikul oleh Ketua Kampung.

“Insha Allah paling tidak kalau kita tak dapat naikkan elaun, kita harus berikan perlindungan, mungkin 2020 kita boleh buat sebab tahun lepas kita tak sempat buat untuk tahun ini untuk perlindungan Ketua Kampung yang bekerja siang malam.

“Kadang-kadang orang ketuk rumah jam 3.00 pagi nak tangkap orang berkhalwat panggil Ketua kampung, suami isteri bergaduh panggil ketua kampung, bergaduh dengan jiran panggil ketua kampung dan hilang lembu juga cari ketua kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama YAB Menteri Besar dan EXCO Negeri Selangor Ke Daerah Kuala Selangor di Dewan Raja Lumu, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang memasukan senarai nama Ketua Kampung ke dalam senarai program Peduli Sihat atau program negeri yang boleh dinikmati Ketua Kampung.

Ketika menjawab satu soalan berhubung kenaikan elaun Ketua Kampung, Amirudin berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan elaun Ketua Kampung.

“Kita sedang bincang dengan Kerajaan Persekutuan sebab kita mahu Kerajaan Persekutuan turut biayai sebahagian dan Kerajaan Negeri boleh mengekalkan apa yang ada dan sekurang-kurangnya mengekalkan di paras lebih tinggi daripada paras asnaf,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Kampung di Selangor menerima elaun bulanan sebanyak RM1,200 setiap seorang.

Categories
SELANGOR

Sistem penilaian ketua kampung bermula 1 April

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SERI KEMBANGAN, 4 APRIL: Bermula 1 April lalu, Selangor mengambil inisiatif melaksanakan sistem penilaian khusus terhadap ketua kampung di seluruh negeri bagi menilai prestasi mereka.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, sistem ‘Star Rating’ akan diguna pakai untuk menjalankan penilaian dalam tempoh enam bulan sekali oleh pejabat daerah.

Katanya, ia juga bukan sahaja bertujuan menilai kecekapan ketua kampung, tetapi bagi melihat kelemahan yang wujud, sekali gus memperbaikinya.

“Sebelum ini penilaian hanya melihat kepada tiga kategori besar sahaja, iaitu penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), laporan minit mesyuarat dan laporan kewangan.

“Tetapi selepas ini, penilaian akan melihat kepada sepuluh segmen tambahan, antaranya penyediaan data kampung, pengurusan dan penganjuran program pembinaan serta ekonomi dalam mengatasi kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Negeri Selangor 2019, di Hotel Palace Of The Golden Horses, di sini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, ketua kampung yang dinilai baik akan berpeluang disambungkan perkhidmatan, manakala yang rendah mungkin akan digugurkan.

“Kita belum putuskan berapa peratus dikategorikan sebagai baik, mungkin 70 peratus atau 80 peratus, tetapi mereka yang paling rendah kita akan lihat dan pertimbang untuk digugurkan,” katanya.