Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dua NGO sumbang 10,000 PPE untuk petugas hadapan JKNS

SHAH ALAM, 24 SEPT: Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyumbang 10,000 pakaian perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengerusinya Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata sumbangan termasuk 4,000 pelitup muka, 2,000 pelindung muka serta alat perubatan bernilai RM296,800 sebagai tanda solidariti kepada mereka yang bertungkus-lumus menangani pandemik Covid-19 sejak 18 bulan lalu.

“Kerjasama pintar dijalin bersama BPMB diharap sedikit sebanyak membantu meringankan beban anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berjuang memerangi wabak.

“Selain JKNS, kita juga telah memberikan sumbangan sama kepada jabatan kesihatan di beberapa negeri antaranya Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan termasuk agensi kerajaan,” katanya.

Sumbangan disampaikan Dr Zainur dan Ketua Pegawai Kewangan BPMB Zulkeefli Mad Karim kepada Pengarah JKNS Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman selepas majlis pelancaran tabung wira Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Sha’ari yang menyambut baik komitmen kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) berkata peralatan diperoleh akan diserahkan kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) Gombak dan Petaling untuk digunakan di pusat penilaian Covid-19 (CAC).

“Saya lihat apa berlaku di negara kita sepanjang tempoh pandemik, semua pihak berganding bahu menyumbang tenaga dan wang ringgit. Usaha sebegini sememangnya sukar dicari di tempat lain.

“Bantuan memberi manfaat khususnya untuk kakitangan bertugas di CAC atau hospital. Kita berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana memberi sumbangan,” katanya.