Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Batang Kali bukan sungai ‘mati’, kualiti air makin baik

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kualiti air Sungai Batang Kali menunjukkan tren peningkatan yang lebih baik setiap tahun selain tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.

EXCO alam sekitar Hee Loy Sian berkata berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar pada 2014, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai itu adalah baik dan dikategorikan sebagai Kelas II dan masih kekal sehingga kini.

“Selain itu, berdasarkan rekod IKA di muka sauk loji rawatan air (LRA) Batang Kali dari 2019 sehingga 2021 di bahagian hilir juga kekal dalam keadaan baik iaitu Kelas II.

“Kualiti air Sungai Batang Kali menunjukkan tren peningkatan yang lebih baik setiap tahun dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Bernama semalam yang mendakwa Sungai Batang Kali berpotensi menjadi ‘sungai mati’ ekoran aktiviti akuakultur (Tilapia Merah) selain projek pembangunan lain di kawasan berhampiran sungai tersebut.

Berdasarkan klasifikasi kualiti air sungai, Kelas IIA menetapkan bacaan IKA antara 85.0 hingga 92.7 iaitu air memerlukan rawatan konvensional manakala Kelas IIB (76.5 hingga 85.0) iaitu air boleh digunakan untuk rekreasi.

Bagi Kelas lain seperti berikut:

Kelas l (Bacaan IKA lebih 92.7) – Dalam keadaan semulajadi
Kelas III (51.9-76.5) – Air memerlukan rawatan intensif
Kelas IV (31.0-51.9) – Hanya untuk tujuan pengairan.
Kelas V (Di bawah 31.0) – Air yang tercemar teruk

Tambah Loy Sian Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor komited menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya terhadap isu dilaporkan bagi memastikan tiada kesan signifikan kepada kualiti Sungai Batang Kali.