Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Go Digital bantu 83 peniaga luas potensi jualan ketika PKP

SHAH ALAM, 6 SEPT: Seramai 83 usahawan di negeri ini menerima manfaat skim pembiayaan Go Digital berjumlah RM343,000 bagi melebarkan potensi jualan secara dalam talian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembiayaan sehingga RM5,000 itu membantu peniaga terus meraih pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semoga inisiatif ini dapat membantu jualan para peniaga terus berjalan secara maya walaupun dengan pelbagai sekatan aktiviti ekonomi sewaktu PKP,” katanya di Facebook malam ini.

Beliau berkata inisiatif yang dilancar pada Februari lalu selaras agenda pendigitalan Selangor untuk mewujudkan sistem perniagaan pintar.

Pada 10 Februari, Kerajaan Negeri melancarkan Go Digital khusus membantu usahawan sedia ada melonjak perniagaan mereka ketika berdepan tempoh sukar akibat Covid-19.

Skim itu yang menyasarkan 3,000 peniaga menyediakan pinjaman pembelian alat telekomunikasi seperti gajet dan tablet untuk memasarkan produk serta perkhidmatan secara meluas.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui www.hijrahselangor.com dengan mematuhi syarat berikut:

1. Warganegara dan rakyat Selangor
2. Bermastautin tidak kurang lima tahun
3. Mengundi di Selangor
4. Berumur antara 18 hingga 60 tahun
5. Mempunyai premis perniagaan