Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Go Digital bantu 83 peniaga luas potensi jualan ketika PKP

SHAH ALAM, 6 SEPT: Seramai 83 usahawan di negeri ini menerima manfaat skim pembiayaan Go Digital berjumlah RM343,000 bagi melebarkan potensi jualan secara dalam talian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembiayaan sehingga RM5,000 itu membantu peniaga terus meraih pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semoga inisiatif ini dapat membantu jualan para peniaga terus berjalan secara maya walaupun dengan pelbagai sekatan aktiviti ekonomi sewaktu PKP,” katanya di Facebook malam ini.

Beliau berkata inisiatif yang dilancar pada Februari lalu selaras agenda pendigitalan Selangor untuk mewujudkan sistem perniagaan pintar.

Pada 10 Februari, Kerajaan Negeri melancarkan Go Digital khusus membantu usahawan sedia ada melonjak perniagaan mereka ketika berdepan tempoh sukar akibat Covid-19.

Skim itu yang menyasarkan 3,000 peniaga menyediakan pinjaman pembelian alat telekomunikasi seperti gajet dan tablet untuk memasarkan produk serta perkhidmatan secara meluas.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui www.hijrahselangor.com dengan mematuhi syarat berikut:

1. Warganegara dan rakyat Selangor
2. Bermastautin tidak kurang lima tahun
3. Mengundi di Selangor
4. Berumur antara 18 hingga 60 tahun
5. Mempunyai premis perniagaan

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pakej Kita Selangor: Latih 55 peniaga cekap digital

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seramai 55 peniaga menjadi kumpulan pertama menerima manfaat program Go Digital yang dijalankan Kerajaan Selangor bagi membantu usahawan mendepani tempoh sukar wabak Covid-19.

Dalam laporan mingguan kemajuan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri berkata kelulusan bagi program pendigitalan e-Dapur Selangor dan e-Pembekal Peruncit dan Mikro itu membabitkan pembiayaan RM216,000 setakat 5 April lalu.

“Pelaksanaan skim ini bagi memberi lebih peluang kepada usahawan meningkatkan perniagaan melalui kaedah pendigitalan,” menurut laporan tersebut.

Inisiatif Go Digital diwujudkan bagi memudahkan peniaga membeli alat telekomunikasi selaras hasrat Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai usahawan digital.

Kerajaan Negeri menyasarkan 1,000 penjaja kecil makanan dan minuman yang berniaga dalam talian dibantu melalui program e-dapur yang dijayakan Yayasan Hijrah Selangor dengan dana RM10 juta.

Inisiatif e-Pembekal Peruncit dan Mikro yang diperuntuk RM5 juta pula membantu 1,000 peruncit kecil dan mikro mendapat bekalan pada harga lebih murah, mudah dan cepat melalui platform digital.

Selain itu, seramai 486 usahawan wanita menerima bantuan skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) membabitkan pembiayaan RM1.9 juta.

Setakat ini, tujuh inisiatif Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjaya diselesaikan.

Sejumlah RM73.87 juta kesan kewangan untuk kesemua inisiatif yang akan memanfaatkan kumpulan sasaran terkesan akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hijrah guna data PBT bantu usahawan terima manfaat

SHAH ALAM, 24 FEB: Hijrah Selangor (Hijrah) akan mendapatkan data usahawan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sebagai usaha membantu peniaga menerima manfaat skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) dan Go Digital.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata langkah berkenaan mampu melahirkan lebih ramai peniaga sekali gus merancakkan sektor ekonomi.

“Kita akan turun padang dan uar-uarkan perkara ini. Selain bantuan modal, masyarakat perlu tahu mereka akan dibantu dari segi kemahiran serta asas perniagaan dalam talian.

“Setakat ini hampir 1,000 permohonan diterima untuk kedua-dua skim. Pemohon yang layak akan terima bantuan dalam tempoh seminggu,” katanya pada program Back To School DUN Batu Tiga semalam.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan skim NaDI dengan jumlah peruntukan awalan sebanyak RM10 juta yang bakal membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000.

Skim tersebut menyasarkan 3,000 penerima untuk terus berniaga menggunakan lesen penjaja sementara daripada PBT manakala skim Go Digital menyasarkan 3,000 usahawan sedia ada menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sedia pinjaman asas, bantu peniaga beli gajet

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Negeri melancarkan skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan Go Digital khusus membantu usahawan berdepan tempoh sukar akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata skim NaDi bertujuan membantu mereka yang berhasrat atau baru memulakan perniagaan dengan tawaran pembiayaan antara RM 1,000 hingga RM 5,000.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari skim Go Digital pula akan membantu usahawan sedia ada melonjak perniagaan mereka ke arah digitalisasi.

“Go Digital memberi peluang kepada peniaga menyesuaikan diri dengan platform digital menerusi empat cara iaitu bantuan sistem, peralatan, pemasaran dan latihan yang dipantau syarikat peneraju dilantik,”
katanya.

Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika melancarkan skim NaDi dan Go Digital menerusi Facebook hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya sentiasa berusaha membantu rakyat mendepani cabaran pendemik termasuk merangka program khusus untuk membantu usahawan.

“Pelaksanaan PKP 2.0 menuntut beberapa inisiatif dilaksanakan secepat mungkin atas keperluan membantu golongan peniaga kecil, penjaja dan usahawan terjejas sekaligus bersama-sama memacu agenda digitalisasi Selangor,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan skim NaDi dengan jumlah peruntukan awalan sebanyak RM10 juta yang bakal membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000.

Skim tersebut menyasarkan 3,000 penerima untuk terus berniaga dengan lesen penjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Manakala skim Go Digital pula menyasarkan 3,000 usahawan sedia ada menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi seperti gajet dan tablet selaras matlamat melahirkan lebih ramai usahawan digital
Selangor.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB buat pengumuman khas skim NaDi, Go Digital esok

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Selangor akan membuat pengumuman khas insentif untuk membantu usahawan negeri ini pada esok, jam 10.30 pagi.

Orang ramai dijemput untuk menonton siaran secara langsung di Facebook Media Selangor atau Hijrah Selangor.

Pengumuman skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan pembiayaan Go Digital akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan skim NaDi dengan jumlah peruntukan awalan sebanyak RM10 juta yang bakal membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000.

Menerusi Pakej Kita Selangor, skim itu diperluas untuk usahawan wanita yang akan berniaga menggunakan permit sementara daripada pihak berkuasa tempatan dan tiada syarat pemilikan premis atau sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diperlukan.

Manakala skim pembiayaan Go Digital pula pinjaman pembelian alat telekomuniksi seperti gajet dan tablet selaras dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan digital di negeri ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah Selangor jangka 3,000 usahawan terima biaya Go Digital

SHAH ALAM, 13 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan 3,000 usahawan mendapat manfaat melalui skim pembiayaan Go Digital antara RM1,000 hingga RM5,000 tahun ini.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata pinjaman pembelian alat telekomunikasi seperti gajet dan tablet selaras matlamat melahirkan lebih ramai usahawan digital di negeri ini.

“Skim pinjaman ditawarkan bukan memfokuskan usahawan sedia ada malah juga kepada peniaga di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Komuniti Belia Selangor (SAY).

“Kita akan cuba dapatkan sistem penjualan dan inventori melalui perkakas telekomunikasi bagi memudahkan pemantauan serta melihat peningkatan jualan,” kata Normaiza Yahya pada sidang media selepas sesi pembentangan hala tuju pembangunan usahawan 2021 diketuai Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail di Hotel De’ Palma di sini semalam.

Sementara itu, Normaiza berkata pihaknya akan memastikan produk usahawan mampu dipasarkan secara dalam talian melalui platform Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH).

“Latihan akan diberikan kepada usahawan terlibat supaya mereka memiliki pengetahuan dalam aspek teknologi maklumat (IT) selain mengadakan Jelajah Usahawan Digital dengan kerjasama Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (Sitec),” katanya.