Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ibu mangsa korban Covid-19 dorong wanita ambil vaksin negeri

SHAH ALAM, 1 SEPT: Tragedi 14 ahli keluarga dijangkiti Covid-19 hingga meragut nyawa ibunya kira-kira empat bulan lalu mendorong seorang wanita mengambil vaksin negeri di sini semalam.

Herwinawaty Md Johani tidak sesekali melupakan peristiwa sedih pada hari terakhir Syawal apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir setelah sebulan bertarung melawan wabak itu.

“Emak bertarung nyawa selama sebulan di hospital sebelum meninggal hari terakhir Syawal manakala saya dan ahli keluarga lain dimasukkan ke pusat kuarantin di Serdang.

“Disebabkan rasa fobia masih ada, saya mahu vaksin cepat-cepat dan kebetulan Selangor tawar vaksin tanpa janji temu, saya terus ajak suami,” katanya yang hadir bersama suami Mohd Barizan Kamarudin, 38.

Wanita berusia 36 tahun itu turut berharap keselamatan dan kesihatan diri lebih terjamin selepas lengkap dos vaksin selain kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Herwinawaty Md Johani, 36

“Kalau boleh nak berbalik kepada asal…bebas ke mana-mana, anak-anak kembali bersekolah, peniaga cari rezeki semula dan mereka yang hilang pekerjaan dapat kerja baharu,” katanya yang bekerja sebagai kerani akaun.

Seorang lagi peserta vaksin Muhammad Aizzat Baharom, 33, berkata lengkap dua dos bukan jaminan untuk seseorang itu tidak dijangkiti wabak sebaliknya perlu terus mengamalkan norma baharu.

“Selagi Covid-19 masih di sekeliling, kita tidak boleh rasa bebas sebab kes masih tinggi dan sukar menjangkakan bila semua ini akan berakhir malah mungkin berlanjutan lebih lama lagi.

“Walaupun kerajaan buka beberapa sektor termasuk makan di restoran, jangan sewenang-sewenangnya abai tatacara operasi piawai kerana kita belum menang,” kata pekerja kilang itu.

Seorang lagi peserta Siti Rulnani Beraham, 43, mahu kerajaan mempertimbang untuk memberi kelonggaran rentas negeri kepada individu yang lengkap dua dos.

“Teringin sangat nak balik, hanya mampu pendam perasaan rindu dan sedih sebab tidak boleh berbuat apa-apa. Diharap ada pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan,” kata ibu kepada lima anak.