Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PPV Kompleks Sukan PKNS sasar suntik 10,000 dos

PETALING JAYA, 1 SEPT: Pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya di sini, sudah menyuntik kira-kira 3,000 dos kedua kepada penduduk sekitar sejak 17 Ogos lalu.

Pengurusnya Mohd Noor Hafiz Md Zamri berkata pemberian suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) diteruskan sehingga 3 September ini bagi mencapai sasaran suntikan 10,000 dos.

“Setakat ini kita telah mengeluarkan lebih kurang 3,000 dos tidak termasuk 2,000 dos hari ini (semalam), manakala selebihnya akan disuntik pada hari berikutnya sehingga PPV ini ditutup secara rasmi pada 3 September.

“Jika penerima vaksin tidak hadir ke PPV seperti dijadual, mereka perlu mengambil suntikan tersebut di Klinik Selcare berhampiran rumah masing-masing tetapi mesti ada alasan seperti masalah kesihatan, kontak rapat atau dijangkiti Covid-19,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, beliau berkata hanya lima peratus daripada 3,000 individu yang menerima dos kedua setakat ini berdepan isu teknikal membabitkan keciciran maklumat dan sijil vaksinasi tidak dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera.

“Kebanyakan masalah ini terjadi ke atas individu yang hadir tanpa janji temu semasa menerima dos pertama, mungkin disebabkan aplikasi di telefon pintar mereka tidak berfungsi atau kesilapan pasukan kami.

“Bagaimanapun, masalah sedemikian dapat diatasi dan berjalan lancar. Alhamdulillah, nama serta sijil vaksinasi individu berkaitan sudah dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera malah Selvax menyediakan salinan sijil vaksin,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.