Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ikut SOP betul tanam padi, dapat hasil berkualiti

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Golongan pesawah negeri ini dinasihatkan mengikut kaedah penanaman padi yang betul bagi mendapatkan hasil berkualiti, kata EXCO pemodenan pertanian.

Seperti tanaman lain, Ir Izham Hashim menjelaskan padi juga memerlukan penjagaan dan pemeriksaan rapi supaya tidak mengalami kerosakan.

“Benih cantik atau baja banyak sekalipun tetapi kalau tidak mengikut SOP (tatacara operasi piawai) tiada guna juga. Seperti Covid-19, kalau badan sihat dan tidak patuh SOP seseorang itu akan dijangkiti.

Ir Izham Hashim berucap selepas menyampaikan bantuan benih padi kepada petani di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jadi, disiplin menjaga sawah dan tanaman mengikut kaedah yang betul itu penting untuk memastikan kita dapat hasil lebih baik,” katanya pada program lawatan kerja ke Sabak Bernam di Koperasi Wawasan Tani Berhad Parit 15 Simpang Lima dekat sini semalam.

Beliau berkata pihaknya juga membantu lebih ramai penggiat sektor pertanian mendapatkan pensijilan MyGAP bagi menghargai sumbangan mereka yang berdisiplin mengusahakan tanaman masing-masing.

“Pengalaman saya dengan pesawah termasuk tanaman lain, biasanya mereka jarang dapat hasil bawah tujuh tan bagi satu ekar tanah. Paling penting sekarang ini, kita akan bantu dapatkan sijil tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ir Izham berkata usaha memodenkan pertanian terus ditingkatkan melalui penggunaan teknologi yang akan memberi manfaat kepada petani dan rakyat.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dan memberi perhatian terhadap usaha ini. Setakat ini, daerah paling banyak terima manfaat ialah Sabak Bernam sebagai kawasan pertanian,” katanya.