Categories
AGENSI SELANGOR

Jais bincang tindakan lanjut pihak enggan terima vaksin

SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membincangkan tindakan lanjut terhadap guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang masih enggan menerima vaksin Covid-19.

Pengarahnya Dato’ Shahzihan Ahmad berkata perbincangan bersama timbalan pengarah dan jawatankuasa jabatan itu dengan merujuk peraturan serta kelakuan tatatertib.

“Arahan dikeluarkan hari ini wujud dan satu yang sah supaya tindakan permulaan tatatertib boleh dimulakan. Ini semua diteliti dan saya juga mesti beri keadilan pada semua pihak dalam situasi seperti ini.

“Sebagai ketua jabatan saya boleh tetapkan keharusan dan siapa yang langgar boleh diambil tindakan tetapi untuk ke arah itu perlu teliti dan berhati-hati,” katanya selepas meninjau program vaksinasi khas Frontliner Jais di di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Shahzihan memaklumkan pihaknya juga menerima beberapa petisyen dengan hujah daripada individu yang enggan divaksin di pejabatnya.

“Dalam petisyen itu mereka melampirkan keratan akhbar, implikasi suntikan dan kematian. Golongan tersebut mempunyai alasan sendiri mengapa tidak mahu divaksin serta mempunyai pemahaman masing-masing.

“Saya berharap hati mereka terbuka untuk menerima vaksin dan sebab itu dalam program ini kita ada sesi penjelasan,” katanya.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedar akan risiko jangkitan dan vaksin dapat mengelakkan kesan lebih buruk termasuk kematian.