Categories
AGENDA NASIONAL

Longkang tersumbat dipercayai punca Taman Mesra Seksyen U1 banjir

SHAH ALAM, 27 SEPT: Longkang tersumbat dipercayai menjadi punca kawasan perumahan Taman Mesra, Seksyen U1 dinaiki air selepas hujan lebat lebih lima jam petang semalam.

Setiausaha persatuan penduduk berkata longkang berkenaan dipenuhi sampah dibuang oleh penduduk warga asing yang tinggal di belakang taman perumahan itu.

“Penduduk taman ada tong sampah disediakan MBSA dan tidak buang ke longkang. Kami pernah berbincang dengan pemilik tanah namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Mesra, Gurunathan Arumugan

“Harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” kata A Gurunathan kepada SelangorKini ketika ditemui hari ini.

Semalam semua 108 rumah di taman berkenaan dinaiki air lebih setengah meter selama beberapa jam selepas hujan lebat petang semalam.

Sementara itu penduduk S Kohelan,42, berkata banjir semalam merupakan yang paling teruk dialami keluarganya selepas enam tahun mendiami rumah itu.

“Selalunya banjir tak naik tinggi tetapi semalam lebih setengah meter. Perabot banyak rosak dan terpaksa dibuang sebab sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Kerugian juga tinggi kali ini mencecah ribuan ringgit. Harap pihak tertentu dapat atasi masalah ini,” katanya.

Zaini Makda, 25, berkata dia dan anak saudaranya Fakhrullah Anuar,16, tidak tidur semalamam kerana membersihkan rumah serta membuang air yang naik.

“Hari ini juga terpaksa cuti kecemasan. Semalam bila air mula naik jam 7 malam, saya terus letak motosikal ke surau kerana situ tinggi. Hanya kasut dan pakaian yang basah namun masih masih digunakan,” katanya.