Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Individu belum terima pelalian digalak hadir program vaksin bergerak

SHAH ALAM, 12 SEPT: Orang ramai yang belum menerima vaksin Covid-19 digalak hadir ke program vaksin bergerak bagi mendapatkan suntikan secara percuma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu dibuka kepada penduduk negeri ini termasuk kepada warga asing.

“Bagi sesiapa yang menetap di Selangor dan masih belum menerima vaksin Covid-19, program vaksin bergerak disediakan termasuk untuk bukan warganegara.

“Sila hadir mengikut lokasi serta tarikh yang ditetapkan. Pemberian vaksin adalah percuma,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menerusi perkongsian info grafik, terdapat 11 lokasi terpilih di mana 10 sahaja tempat pemberian vaksin (PPV) yang tinggal selepas lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru selesai jam 5 petang tadi.

10 DUN selepas ini adalah DUN Batu Tiga dan Tanjung Sepat pada esok, Hulu Bernam (14 September), Gombak Setia (15 September), Bukit Antarabangsa dan Batang Kali (16 September), Banting dan Teratai (17 September), Dengkil dan Kampung Tunku (18 September).

Pada 9 September EXCO kesihatan berkata PPV secara mobil itu akan bergerak ke seluruh DUN dan parlimen.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata program vaksin bergerak itu bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.