Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun 70 peratus, galak selesai kompaun tertunggak

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan diskaun sehingga 70 peratus daripada bayaran sebenar bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK).

Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata pengurangan itu ditawarkan sepanjang Oktober depan sempena sambutan ulang tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21.

“Kempen ini merupakan inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan orang kena kompaun selesaikan tunggakan sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena inisiatif ulang tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21 di Wisma MBSA di sini semalam.

Jenis kesalahan UUK yang layak untuk mendapat potongan itu adalah UUK Kedai Gunting Rambut 1983, UUK Taman (MBSA) 2005, UUK Vandalisme (MBSA) 2005 dan UUK Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

Selain itu, UUK Pengendali Makanan (MBSA) 2007, UUK Iklan (MBSA) 2007, UUK Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan UUK Pasar (MBSA) 2007 juga layak menerima tawaran tersebut.

Orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Kaunter Pandu Lalu, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1757, 1658, 1540 dan 1521 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.