Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Milik persendirian tetapi tiada kelulusan aktiviti tanah di Bukit Tabur

SHAH ALAM, 11 SEPT: Aktiviti tanah di Bukit Tabur, Ampang tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri dan tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahagian penguat kuasa dikerah ke lokasi bagi menghentikan aktiviti berkenaan dan menyita jentera terlibat.

“Setelah semakan lanjut dibuat oleh pihak MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan Pejabat Daerah Gombak, tidak ada sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti-aktiviti di tanah tersebut.

“Pihak penguat kuasa telah turun ke lokasi tersebut untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera yang terlibat,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Amirudin menjelaskan demikian bagi menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter, @lamkanahraf yang mempersoalkan bagaimana kontraktor boleh naik ke Bukit Tabur sedangkan aktiviti pendakian tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis MPAJ ketika melawat kawasan Bukit Tabur pada 11 September 2021. Foto Twitter Anfaal Saari

Kata pengguna Twitter itu lagi tidak sepatutnya ada sebarang pembangunan dibenarkan di Bukit Tabur.

Mengenai isu penguatkuasaan yang dibangkit pengguna Twitter lain pula, Amirudin menjelaskan pada masa ini PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguat kuasa memandangkan tugasan kini tertumpu kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan aduan orang ramai dalam usaha meningkatkan lagi tahap penguatkuasaan.

“Ramai bangkit soal penguatkuasaan. PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguat kuasa yang terhad dan kini tertumpu kepada pematuhan SOP di premis dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan aduan dari awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPAJ, Anfaal Saari dalam kemas kini terbaharu di Twitter memaklumkan jentolak yang dilihat berada di atas Bukit Tabur sudah dibawa turun dan disita kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurut beliau, aktiviti berkenaan merupakan kerja pembersihan tanah persendirian berstatus pertanian tanpa kelulusan dan kebenaran merancang oleh MPAJ.

“Saya adakan lawatan ke kawasan hutan yang ditarah di sekitar Bukit Tabur. Ia merupakan pembersihan tanah persendirian berstatus pertanian tanpa kelulusan & kebenaran merancang oleh MPAJ,” katanya.