Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor batal nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor membatalkan keputusan menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kecuali kawasan untuk pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga memutuskan sebahagian kecil kawasan juga kekal dinyahwarta untuk pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri turut menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan yang sebelum ini dinyahwarta dan membatalkan pemberian milik tanah itu kepada syarikat berkenaan.

“Sebanyak hanya 104 ekar (42.1 hektar) daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberian milikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan memulakan proses mewarta semula HSKLU,” katanya dalam kenyataan pada 8 September.

Beliau menjelaskan tiga kawasan gantian yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal seluas 1,436 ekar (581 hektar) di Sungai Panjang (Sabak Bernam), Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat) akan kekal statusnya.

Dengan pembatalan nyahwarta, Amirudin bagaimanapun menegaskan keputusan Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengikut lunas undang-undang dan sedia menjelaskan semua perkara kepada badan siasatan Dewan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri juga menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan sebelum ini mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan menulis kepada speaker dewan untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi menjawab isu berkenaan.

Pada hujung 2019, Kerajaan Selangor mula merancang untuk membangunkan sebahagian HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Kawasan ini ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuh Raya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11(b) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun diwajibkan menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Tiga kawasan yang diputuskan sebagai gantian hutan simpan seperti berikut: Sungai Panjang, Sabak Bernam (seluas 308.62 hektar), Ampang Pechah, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Hulu Langat (63.88 hektar).