Categories
AGENSI SELANGOR

Setengah jam tolak adik berkerusi roda demi dapatkan vaksin

PETALING JAYA, 20 SEPT: Seorang kakak sanggup menolak kerusi roda lebih dua kilometer bagi memastikan adiknya menerima suntikan pelalian di Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak hari ini.

San Suet Mooi, 57, berkata beliau walaupun mengambil masa 30 minit untuk tujuan itu namun beliau melakukannya asalkan San Siew Won, 52, berada dalam keadaan selamat dan dapat menghindari dari dijangkiti Covid-19.

“Kami sekeluarga semua sudah divaksin, hanya tinggal dia seorang sahaja. Jadi apabila ada program ini yang dekat dengan rumah saya bawa dia datang ke sini untuk pastikan kami sekeluarga lengkap menerima suntikan.

“Dia ada penyakit angin ahmar jadi pergerakan terbatas, nak angkat bawa masuk ke dalam kereta pun susah jadi perlu guna kerusi roda,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Suet Mooi berkata adiknya itu tidak membantah dan mengangguk tanda setuju ketika mereka sekeluarga mahu mendaftarkannya bagi mendapatkan vaksin.

“Kami terangkan dia tidak dapat ke mana-mana tanpa vaksin selain menjelaskan suntikan dibuat bagi memastikan dirinya dapat mencegah Covid-19,” katanya yang tinggal di Seksyen 17A.

Hari ini, sebanyak 700 dos pelalian disediakan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Pasar Sentosa, Seksyen 17 di sini.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata seramai 300 individu selesai menerima suntikan dos pertama dengan sebahagian besarnya membabitkan pekerja asing.