Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga kali tertangguh, warga emas lega dapat dos pertama vaksin

AMPANG, 16 SEPT: Hasrat seorang warga emas untuk mendapat suntikan vaksin tercapai hari ini selepas tiga kali tertangguh akibat masalah kesihatan.

Suhib Mohd Sidek, 73, menerima slot pada Mac dan Jun lalu namun urusannya terbantut berikutan mengalami gejala Covid-19 selain kesihatan yang tidak memuaskan.

“Sebulan selepas itu, saya menerima janji temu baharu tetapi tahap kesihatan masih belum baik. Ketika itu saya bimbang sebab sudah beberapa kali membatalkan slot apatah lagi dengan peningkatan kes wabak.

Suhib Mohd Sidek

“Apa yang saya mampu buat adalah menjaga kesihatan diri dan pemakanan agar tidak dijangkiti. Alhamdulillah, hari ini saya berjaya divaksin tanpa sebarang masalah, prosesnya juga lancar serta cepat,” katanya.

Suhib yang hadir ditemani anaknya antara 250 peserta Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarbangsa di Dataran Santai Ampang Point di sini.

Bekas jurutera radio di sebuah stesen televisyen tempatan itu turut menghargai usaha negeri menganjurkan program yang memanfaatkan orang ramai khususnya warga emas.

“Saya tidak sabar menanti dos kedua, harap segalanya dipermudah kerana merancang untuk pulang melawat saudara-mara di Pengkalan Hulu, Perak setelah lima tahun tidak bersua muka,” katanya.

Seorang lagi warga emas dari Kampung Changkat, Gombak yang baharu pulih daripada rawatan jantung teruja menerima dos pertama selepas mendapat pandangan doktor pakar.

Hasnah Nordin, 69, mengakui berminat untuk memperoleh vaksin sejak program imunisasi Covid-19 bermula di negara ini, namun terpaksa melupakannya ekoran berdepan masalah kesihatan.

Hasnah Nordin

“Minggu lepas saya berjumpa doktor di Institut Jantung Negara untuk mengetahui sama ada boleh divaksin atau tidak. Mujurlah saya dibenarkan kerana sudah melepasi tempoh tiga bulan pembedahan.

“Jadi, hari ini saya dibawa anak menerima vaksin tanpa janji temu. Kurang sikit rasa bimbang kerana Covid-19 penyakit berbahaya dan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa terutama orang tua seperti saya,” katanya.