Categories
EXCO SELANGOR

Usahawan terima data internet percuma digalak berniaga dalam talian

SHAH ALAM, 5 SEPT: Usahawan di Selangor yang bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma dari Kerajaan Negeri diminta memanfaatkan peluang berniaga secara dalam talian.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata penerima perlu menggunakan data internet selama 12 bulan dibekalkan itu sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah permohonan sangat banyak tetapi kita perlu membuat tapisan dan sasaran sekitar 17,000 penerima manfaat ini. Permohonan masih dibuka sehingga 15 September.

“Kita galakkan usahawan yang menerima SIM percuma berusaha berubah dengan berniaga dalam talian dan bukan hanya fizikal sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas turun padang bagi meninjau penganjuran Pasar Mesra di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, hari ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 70,000 rakyat Selangor akan menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Beliau berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.