Categories
EXCO SELANGOR

Cempedak madu, nangcem bakal disenarai tanaman bernilai tinggi

HULU LANGAT, 8 OKT: Kerajaan Negeri merancang menyenaraikan cempedak madu dan nangcem (kacukan nangka dan cempedak) sebagai tanaman bernilai tinggi.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata kedua-dua jenis buah itu dilihat berpotensi dijadikan tanaman sedemikian berbanding durian.

“Kita hendak mempelbagaikan tanaman bernilai tinggi dan meminta pengusaha cempedak madu berkongsi teknik, penanaman dan paling penting benihnya.

“Cempedak madu khususnya jenis patriot mempunyai aroma tersendiri manakala nangcem pula keistimewaannya adalah saiz seperti nangka dan rasanya macam cempedak,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Ladang Cempedak World Hulu Langat diiringi Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad.

Tambah Ir Izham, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan untuk penanaman dua tanaman itu dan akan dimaklumkan kemudian.

“Selain itu, kita juga menganjurkan kursus tanaman kepada individu berminat untuk menyertainya,” katanya.

Pada 7 September tahun lalu, Selangor mengenal pasti 12 jenis tanaman bernilai tinggi sebagai pendekatan baharu sektor pertanian agar dapat menjamin pembangunan ekonomi.