Categories
ADN SELANGOR

DUN Batang Kali terima lebih 25 permohonan untuk rawatan ke hospital

SHAH ALAM, 7 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima lebih 25 permohonan pesakit untuk dibawa menghadiri janji temu di hospital awam terpilih.

Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata kebanyakan pemohon program khidmat Batang Kali CAR-e adalah golongan sasar iaitu warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Sejak dilancarkan pada 1 Oktober lalu program ini mendapat perhatian dengan segelintir daripada golongan berkaitan berdepan masalah tiada pengangkutan dan juga waris sibuk bekerja.

“Insya-Allah kita akan berusaha membantu agar tidak terlepas janji temu kerana bimbang juga jika terlepas sakit mereka semakin melarat,” katanya kepada SelangorKini.

Khidmat Batang Kali CAR-e turut mendapat kerjasama Sukarelawan Selangor (Suka) manakala hospital awam terpilih iaitu Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Besar Kuala Lumpur.

Mereka yang memerlukan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi 011-74742008 dengan mengemukakan nama, alamat, nombor kad pengenalan dan salinan janji temu 14 hari lebih awal.