Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 3,000 peluang kerja di Jelajah Selangor Bekerja Shah Alam esok

SHAH ALAM, 22 OKT: Hampir 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini esok.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata program bermula jam 10 pagi hingga 5 petang membabitkan penyertaan 40 majikan daripada syarikat ternama termasuk sektor aeroangkasa.

Katanya syarikat meliputi Parkson Corporation Sdn Bhd, Proton Edar, Ayamas Food Co Sdn Bhd, Shin-Etsu Polymer (M) Sdn Bhd, The Manhattan Fish Market Restaurant Sdn Bhd, PHN Industry, Old Town White Coffee dan GE Aerospace Sdn Bhd.

“Peserta akan ditemu duga secara fizikal dan maya. Bagaimanapun, temu duga secara terus (walk-in) hanya dibenarkan kepada mereka yang lengkap dos vaksin.

“Peserta juga perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menyukat suhu badan, mengimbas kod bar MySejahtera dan mengawal penjarakan fizikal semasa proses temu duga,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan hampir 8,000 individu mendaftar bagi menyertai program Jelajah Selangor Bekerja 2021 setakat ini.

Katanya, angka tersebut direkodkan sejak pendaftaran melalui laman sesawang www.selangorbekerja.com.my dibuka 12 Oktober lalu dengan peserta akan menjalani sesi temu duga mengikut tarikh dan lokasi jelajah ditetapkan.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin memaklumkan lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah bermula 23 Oktober hingga 27 November tahun ini.

Hampir 200 syarikat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan termasuk aeroangkasa menyertai jelajah di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.