Categories
AGENSI SELANGOR

Harga telur ayam di Shah Alam masih stabil, terkawal

SHAH ALAM, 7 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memaklumkan harga runcit telur yang pelbagai di Shah Alam, di sini masih pada tahap stabil dan terkawal.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan secara harian yang dilaksanakan oleh pihaknya sehingga semalam menunjukkan harga runcit semasa telur ayam adalah berbeza dan tidak seragam di mana bagi telur gred A, harga bagi satu biji ialah 44 sen hingga 49 sen manakala harga bagi satu papan (30 biji) antara RM11.99 ke RM13.89.

Beliau berkata bagi telur ayam gred B, harga satu biji telur adalah sehingga 48 sen manakala harga bagi satu papan antara RM11.25 ke RM13.29 manakala gred C pula harga bagi satu biji (40 sen hingga 45 sen) manakala harga bagi satu papan (RM10.65 ke RM12.90).

“Penetapan harga runcit telur adalah berbeza oleh setiap peniaga disebabkan faktor kos harga borong, belian jumlah bekalan (stock volume), kos operasi premis, sasaran pelanggan dan lain-lain kos.

“Telur ayam bersifat barang mudah rosak dan tidak boleh disimpan terlalu lama. Disebabkan sifatnya itu harga telur ayam di pasaran tidak ditetapkan oleh peniaga sebagai satu harga yang tetap/seragam,” katanya dalam kenyataan.

Muhamad Zikril Azan berkata item telur ayam juga tidak termasuk di bawah barang dan harga terkawal antaranya minyak masak paket satu kilogram (kg); gula pasir putih; pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri Covid-19 kecuali semasa musim perayaan di mana harganya dikawal di peringkat borong dan runcit di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Sepanjang pelaksanaan SHMMP pengguna akan menikmati harga runcit telur ayam gred A, B dan C yang seragam/sama/tetap berdasarkan harga maksimum atau siling ditetapkan mengikut lokaliti.

“Adalah ditegaskan, situasi kepelbagaian kedudukan harga telur ayam di pasaran Shah Alam masih dalam paras atau sekitar harga yang munasabah dan berpatutan yang tidak sama sekali memberi tekanan kepada kuasa beli pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas KPDNHEP Selangor terhadap satu laporan media berhubung harga telur ayam di pasaran Shah Alam, di sini didakwa sebagai tidak konsisten.

– BERNAMA