Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Vaksin Selangor diperluas kepada remaja 12-17 tahun

SHAH ALAM, 7 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) diperluas kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini melibatkan 150,000 dos pelalian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju dengan inisiatif mempercepatkan vaksin dalam kalangan remaja itu selepas dibentang EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud pada Selasa.

Beliau berkata program Selvax Remaja itu diutamakan kepada pelajar sekolah kendalian Kerajaan Negeri antaranya Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) dan Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI).

“Vaksin juga diagihkan kepada sekolah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah persendirian. Ia memanfaatkan 75,000 penerima.

“Kita bekerjasama dengan beberapa agensi antaranya Jais (Jabatan Agama Islam Selangor), KPM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Ahli Dewan Negeri,” katanya pada sidang media di pejabat pentadbiran negeri (SUK) hari ini.

Amirudin berkata pelajar akan disuntik di sekolah dan ia hanya diberikan kepada individu yang tidak mempunyai masalah penyakit atau komorbiditi seperti disyaratkan KKM.

“Jadual program ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Kita sasarkan kepada pelajar yang memerlukan untuk pastikan tiada golongan tersebut yang tertinggal,” ujar beliau.

Jelas beliau pemberian vaksin untuk remaja itu akan melengkapkan kuota 500,000 dos bagi Selvax Komuniti.

Setakat ini lebih 300,000 dos sudah digunakan dan terdapat baki 12,000 dos lagi untuk program Selvax bergerak, katanya.

Pada Jun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.