Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jabatan Integriti dan Governans MBI pantau tindakan ikut aturan sebenar

SHAH ALAM, 1 OKT: Jabatan Integriti dan Governans MBI ditubuhkan bagi memantau proses, perolehan dan tindakan supaya mengikut tata kelola dan peraturan sebenar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif penubuhan jabatan tersebut di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk mendidik penjawat awam terus berintegriti dalam menjalankan tugasan.

“Di dalam jabatan ini ada audit dalaman dan beberapa jabatan yang berkaitan untuk memantau keseluruhan. Ini antara didikan bermula dan kita terapkan supaya bukan mudah-mudah untuk melakukan kerana ada orang pantau secara bebas.

“Ia akan membudayakan perkara ini dengan diikuti program bulanan, bulan anti rasuah, ceramah, tazkirah dan menggalakkan pengisytiharan tertentu,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah semalam.

Sementara itu, Amirudin menjelaskan dalam mesyuarat MMKN, ahli lembaga pengarah dan anak syarikat MBI hampir kesemuanya mengisytiharkan dalam borang sekiranya terdapat kepentingan kepada diri serta keluarga.

“Ini yang kita didik dan budayakan sejak 2008 dengan pastikan EXCO, Ahli Dewan Negeri (ADN), MB dan ahli majlis supaya tidak diberi kedudukan serta peluang yang beri risiko mereka terlibat.

“Kesan rasuah ini bukan sahaja sebabkan kerosakan dan kehilangan wang tetapi kematian serta kualiti pada kehidupan,” katanya.