Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk buat persiapan awal pastikan bekalan air cukup

SHAH ALAM, 6 OKT: Orang ramai membuat persiapan awal menyimpan bekalan air susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 minggu depan.

Kerja naik taraf pada 13 Oktober yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dijalankan selepas tertangguh sejak 2019 berikutan pencemaran air ketika itu.

Jurutera lapangan Md Fadhly Dwiphayana Nor Salim, 39, yang mengetahui maklumat itu melalui media sosial memaklumkan membeli tong bagi menyimpan bekalan dalam tempoh berkenaan.

Dia yang ditemui di kediamannya di Taman Universiti Utama, Seksyen 30 di sini turut menyimpan air dalam bekas kecil bagi menampung keperluan keluarga terutama anak-anaknya.

“Saya bersetuju loji rawatan ini diselenggara kerana peralatannya mempunyai tempoh tertentu dan perlu dinaik taraf bagi mendapatkan air bersih,” katanya kepada Selangorkini.

Md Fadhly Dwiphayana Nor Salim,39, mengisi air dalam tong sebagai persediaan berikutan naik taraf Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Jalan Kebun, Shah Alam pada 6 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pesara Ahmad Jamal Arbee juga mula menyimpan bekalan air bagi kegunaan isteri, anak dan cucu yang tinggal bersamanya sejurus mengetahui loji rawatan akan diselenggara.

Warga emas berusia 74 tahun itu memandang positif kerja pembaikan aset tersebut demi manfaat pengguna sekali gus mengelakkan situasi lebih serius pada masa depan.

“Sekiranya air disimpan habis, saya akan mengambil bekalan di surau sementara mendapat semula bekalan di pili-pili awam atau lori tangki,” katanya yang tinggal di Pangsapuri Seksyen 17(2).

Sementara itu, suri rumah Maimunah Mohd Ali, 63, memaklumkan akan segera membuat persiapan setelah dimaklumkan mengenai perkara tersebut hari ini.

Maimunah Mohd Ali

“Apabila mengetahui perkara ini saya akan membuat persiapan awal supaya tidak perlu mengangkat air kerana rumah di tingkat tiga,” kata penghuni Pangsapuri Fasa 1 Seksyen 17 itu.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya mulai 13 Oktober.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 18 pili awam dan 105 lori tangki disediakan ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.