Categories
AGENDA NASIONAL

Lima anggota badan penguat kuasa ditahan terlibat samun berkumpulan

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Polis menahan lima lelaki dan dua wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan samun berkumpulan dalam serbuan di enam lokasi sekitar Lembah Klang sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata lima daripada mereka merupakan anggota badan penguatkuasaan, namun beliau tidak menyatakan dari agensi mana.

Beliau berkata polis turut merampas dua motosikal, sebuah kereta Proton Iswara, tiga telefon bimbit dalam serbuan itu, dan kesemua yang ditahan berumur antara 19 dan 30 tahun itu kini direman sehingga 11 Oktober ini.

“Tiga suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau antaranya samun serta jenayah berkaitan dadah, dan seorang daripada mereka didapati positif ujian saringan air kencing,” katanya.

Sementara itu Muhammad Idzam berkata polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah premis di Desa Tasik, Sungai Besi, Cheras kira-kira pukul 11 malam tadi kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai penjaga premis judi berkenaan, dan polis turut merampas lima tablet serta beberapa barang elektronik lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan perjudian selain wang tunai RM120,” katanya dan menambah suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata premis itu didapati baru beroperasi kira-kira seminggu dan risikan dilakukan selepas beberapa individu yang dipercayai kalah judi memuat naik rasa tidak puas hati dengan premis itu melalui media sosial.

— BERNAMA