Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor peruntuk RM80 juta untuk tiga skim baharu Hijrah

SHAH ALAM, 29 OKT: Sejumlah RM80 juta diperuntukkan untuk tiga skim pembiayaan baharu diperkenal Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan terjejas susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu disasarkan untuk pelaksanaan tempoh tahun ini dan tahun depan.

Jelas beliau, tumpuan skim itu untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan sedia ada, usahawan agro serta usahawan bazar Ramadan, bazar raya serta buah-buahan bermusim.

“Semua inisiatif ini dijangka mampu mengupayakan semula sektor ekonomi mikro supaya tiang-tiang asas perniagaan yang terganggu akibat pandemik dapat diperkukuhkan semula,”katanya menerusi Facebook.

Pada 27 Oktober, Selangor memperkenalkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang berkonsepkan islamik.