Categories
AGENDA NASIONAL

Simpan bekalan secukupnya susulan selenggara loji air besar-besaran

SHAH ALAM, 9 OKT: Orang ramai diminta menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan harian susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pada Rabu.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak lokasi masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di pautan hentitugas.airselangor.com.

Wilayah terlibat ialah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mulai 9 pagi tarikh tersebut.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan tempoh gangguan dan pemulihan berbeza mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Dalam tempoh 13 Oktober hingga bekalan pulih pada 9 malam 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Kerja naik taraf yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dijalankan selepas tertangguh sejak 2019 berikutan pencemaran air ketika itu.