Categories
AGENDA NASIONAL

Simpan bekalan secukupnya susulan selenggara loji air besar-besaran

SHAH ALAM, 9 OKT: Orang ramai diminta menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan harian susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pada Rabu.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak lokasi masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di pautan hentitugas.airselangor.com.

Wilayah terlibat ialah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mulai 9 pagi tarikh tersebut.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan tempoh gangguan dan pemulihan berbeza mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Dalam tempoh 13 Oktober hingga bekalan pulih pada 9 malam 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Kerja naik taraf yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dijalankan selepas tertangguh sejak 2019 berikutan pencemaran air ketika itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ jamin disk LKM cukup seluruh negara

PUTRAJAYA, 3 FEB: Bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah mencukupi bagi menampung urus niaga pelanggan di seluruh negara, demikian menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bekalan adalah mencukupi untuk cawangan di JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“JPJ dengan kerjasama pembekal dokumen disk LKM telah menghantar bekalan sebanyak 1,145,000 keping disk LKM kepada cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Puspakom pada Januari 2021 dan tambahan 420,000 keping lagi baru-baru ini agar tidak timbul masalah putus bekalan,” menurut kenyataan itu.

Pada 1 Februari lepas, sebuah portal menerbitkan berita versi bahasa Mandarin bertajuk “Kekurangan pelekat cukai jalan berlaku di seluruh negara, peniaga kereta kehilangan peluang perniagaan Tahun Baharu”.

Sehubungan itu, JPJ memberi jaminan bahawa isu kekurangan bekalan disk LKM tidak akan berlaku supaya pengguna tidak lagi menghadapi kesulitan menjalankan urus niaga berkaitan LKM.

JPJ turut menasihati pelanggan agar mengutamakan urus niaga secara dalam talian serta tidak terburu-buru mendapatkan dokumen fizikal di kaunter bagi mengelakkan kebanjiran orang ramai di cawangan JPJ dan rakan niaga ketika pandemik Covid-19.

Ini adalah selaras dengan pengecualian memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor persendirian dari 1 Februari hingga 31 Mac 2021, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPAN pastikan operator bekalan air ganti paip bermasalah

PUTRAJAYA, 30 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), akan memastikan operator bekalan air menggantikan paip bermasalah secara berjadual, bagi mengelak berlakunya insiden paip bocor atau pecah yang akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

SPAN dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memantau rapi perancangan setiap operator bekalan air termasuk meluluskan projek penggantian paip di setiap negeri termasuk di Selangor, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Program Penggantian Paip, merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh SPAN dalam semua perancangan Pelan Perniagaan operator bekalan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk insiden gangguan bekalan air di 58 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling, yang berpunca dari masalah pada paip utama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), yang berlaku hari ini.

Untuk rekod, SPAN menyatakan pada November lepas, pihaknya meluluskan Pelan Perniagaan dikemukakan oleh Air Selangor, yang turut menyenaraikan aktiviti bagi program penggantian paip berjumlah lebih RM500 juta, yang akan dilaksanakan Air Selangor dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Program penggantian paip yang dirancang ini, akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2020 hingga 2022 secara berperingkat, melibatkan penggantian kira-kira 150 kilometer (km) panjang paip agihan setahun dan 4,260 paip penghubung,” menurut kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya itu menyatakan untuk rekod, jumlah panjang paip jenis Asbestos Cement (AC) yang masih digunakan dalam sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sekitar 6,205km atau 21.4 peratus daripada panjang keseluruhan rangkaian paip agihan iaitu 29,044km.

“Program penggantian paip bagi paip-paip yang mencapai usia perkhidmatan maksimum adalah sesuatu yang dirancang secara berjadual, oleh setiap operator bekalan air.

“Ini kerana paip ini berisiko tinggi untuk bocor atau pecah, akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna, dan pada waktu sama menyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi,” katanya.

SPAN menyatakan, aktiviti menggantikan paip oleh operator akan mengambil masa dan dijalankan secara berperingkat, bagi tujuan mengelak gangguan bekalan skala besar dan kesabatan dan kefahaman pengguna amatlah diperlukan dan dihargai.

Sementara itu, SPAN menyatakan untuk rekod, kerajaan mensasarkan NRW pada paras 25 peratus untuk dicapai pada tahun 2030.

Berdasarkan rekod semasa, paras NRW Kebangsaan sehingga suku kedua 2020 adalah 36.9 peratus dan anggaran kerugian akibat NRW ini adalah sekitar RM2 billion setahun.

SPAN akan terus memantau aktiviti operator berdasarkan kelulusan diberi untuk pelan pembangunan dan penambah baikan terhadap kualiti perkhidmatan agar keperluan pengguna akan sentiasa dapat diutamakan.

Orang ramai juga diminta menggunakan air secara berhemat dan melaporkan kes disyaki melakukan kecurian bekalan air, serta sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian +603-8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

281 kawasan pulih bekalan air, kualiti tepati piawai

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebanyak 281 kawasan mendapat bekalan air sementara 1,011 lagi masih dalam proses pemulihan sehingga jam 9.30 malam tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Elina Baseri berkata secara keseluruhan, 21.75 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air pulih sepenuhnya.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang menerima bekalan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Elina berkata Air Selangor memberi jaminan kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada masa sama, pihaknya turut menghargai bantuan lori tangki dari Syarikat Air Negeri Sembilan, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Darul Aman dan Pengurusan Air Pahang Berhad.

“Turut sama membantu ialah Lembaga Air Perak, Syarikat Air Terengganu, Syarikat Ranhill SAJ dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia yang membantu mengagihkan air kepada pengguna terjejas,” katanya.

Maklumat pemulihan bekalan air tidak berjadual boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com .

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu dilaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor pada 3 September lalu.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling pelitup muka boleh turun ikut bekalan

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Harga siling pelitup muka yang diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 mulai 15 Ogos ini, mungkin boleh diturunkan lagi berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, penurunan harga kepada RM1.20 itu diputuskan dua minggu sebelum kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020 di dalam pengangkutan awam dan tempat tumpuan umum yang sesak, serta merupakan langkah berperingkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“KPDNHEP sedang memantau bekalan di peringkat pengeluaran, pengimportan dan di peringkat runcit bagi tujuan menentukan penurunan harga maksimum yang wajar berdasarkan kepada situasi pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 23 Julai lepas, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Nanta berkata kementerian juga  mewartakan larangan eksport produk itu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2020 bagi memastikan bekalan pelitup muka mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi keperluan semasa.

Larangan yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 itu dilaksanakan kerana kerajaan khuatir situasi kekurangan bekalan peringkat dunia berulang dan seterusnya menyebabkan harga meningkat secara mendadak, kata Nanta.

Menurutnya, melalui pemantauan bekalan dan pengeluaran ke atas lapan kilang pelitup muka tempatan bermula April hingga 28 Julai lepas, didapati sebanyak 78 juta unit produk itu telah dikeluarkan dan diedarkan dalam pasaran.

“Didapati tidak ada masalah bekalan atau kekurangan pelitup muka di pasaran pada ketika ini,” katanya.

Selain itu, katanya pengguna kini mendapatkan pelitup muka jenis fabrik sebagai alternatif, dan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelitup muka pakai buang.

“KPDNHEP memberi jaminan akan sentiasa mencari pendekatan terbaik yang seimbang demi kepentingan pelbagai pihak bagi memastikan harga pelitup muka dapat dikawal dan sekali gus memastikan keberadaannya di dalam pasaran dapat dikekalkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bekalan air Lembah Klang hampir pulih sepenuhnya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MAC: Bekalan air di semua kawasan Lembah Klang yang terjejas kini menunjukkan perkembangan positif dan hampir pulih sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata, peratusan pemulihan kini berada pada tahap 96.8 peratus, setakat jam 6 petang, semalam.

Berdasarkan kenyataan itu, segala usaha dan tindakan perlu sedang diambil bagi meningkatkan tekanan serta penyelarasan di sistem agihan untuk pemulihan bekalan sepenuhnya ke beberapa kawasan yang masih dalam proses pemulihan berperingkat di Petaling, Kuala Lumpur, Klang serta Gombak.

“Peratusan pemulihan bekalan air di Hulu Selangor dan Kuala Langat dilaporkan mencapai 100 peratus iaitu bekalan pulih sepenuhnya, manakala di Klang dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat pemulihan sebanyak 98.6 peratus serta 97.3 peratus.

“Di kawasan Gombak, peratusan pemulihan bekalan mencapai 98.3 peratus, manakala Petaling masih pada tahap 83.7 peratus,” katanya.

SYABAS berkata, bantuan bekalan melalui lori tangki air terus digerakkan secara berterusan ke kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

“Pelanggan juga boleh memohon bekalan air bantuan dengan menghantar SMS ke 15300 (Taip: Tanker<jarak>Nama & Alamat),” katanya.

Categories
SELANGOR

Bekalan barangan cukup sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 22 MEI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor memberi jaminan bekalan barangan keperluan di negeri itu mencukupi sepanjang Ramadan.

pasar-29Pengarahnya, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, FAMA juga sudah menyediakan stok simpanan untuk beberapa barangan keperluan seperti ikan, ayam, kelapa dan daging.

“Berdasarkan pengalaman lalu, bekalan barangan selalu mengalami kekurangan ketika Ramadan dan menjelang hari raya akibat penambahan permintaan daripada pengguna.

“Stok yang FAMA sediakan ini akan digunakan bagi mengimbangi pasaran bagi mengelakkan harga barangan ini naik dan membebankan pengguna,” katanya memetik Bernama.

Abdul Ghariff berkata, FAMA juga akan melakukan pengawasan di semua 60 pasar tani kendaliannya di Selangor supaya tiada peniaga menaikkan harga jualan sesuka hati.

“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya mengemukakan aduan kepada FAMA jika ada peniaga pasar tani kami yang menaikkan harga,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air hampir pulih sepenuhnya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Bekalan air hampir pulih sepenuhnya di semua kawasan kecuali dua kawasan di Klang, kata Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah.

catu-air-1Beliau berkata, sehingga jam 7 pagi tadi, Zon 1 mencapai pemulihan 100 peratus sementara Zon 2 mencapai pemulihan 99.5 peratus.

Katanya, usaha pemulihan akan ditumpukan di Kampung Rantau Panjang dan Taman Cempaka Sari di Klang.

“Kawasan ini dijangka pulih sepenuhnya menjelang lewat petang ini.

“Sehubungan itu, Air Selangor memaklumkan, Pemulihan Berjadual ditamatkan hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Amin berkata, pemantauan ke atas sistem bekalan air akan diteruskan untuk memastikan kuantiti air mencukupi dan tekanan air yang optimum di paip utama serta paras air memuaskan.

Sebelum ini, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas ekoran kerja penyelenggaraan TNB di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, pada 19 Disember lalu.

-NFN-