Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Team Selangor bantu penduduk pangsapuri angkut air

SHAH ALAM, 15 OKT: Sukarelawan Team Selangor membantu penduduk Pangsapuri Seri Wira dan Seri Kayangan di Bukit Antarabangsa, Ampang  yang terlibat naik taraf aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 mengangkut air hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata tindakan itu meringankan beban penduduk mendapat bekalan air yang dihantar Pengurusan Air Selangor Sen Bhd (Air Selangor) menerusi dua lori tangki.

“Lebih 40 sukarelawan terlibat dan ada yang naik ke tingkat atas terutama membantu warga emas serta orang kelainan upaya (OKU). Mereka turut agihkan 120 botol minuman lima leter kepada penduduk,” katanya kepada Selangorkini.

Penyelaras Parlimen Ampang yang juga EXCO Kerajaan Negeri Rodziah Ismail turut sama membantu.

Syahaizel berkata dalam masa sama sukarelawan Team Selangor turut digerakkan ke Pangsapuri Perepat Permai dan Amazinv Heights, Klang bagi mengagihkan 504 botol minuman lima liter kepada penduduk.

“Untuk esok kita masih belum tentukan gerak kerja memandangkan hampir keseluruhan kawasan sudah menerima bekalan air,” katanya.

Setakat 6 petang tadi Air Selangor memaklumkan 85 peratus daripada 998 kawasan terbabit kerja menyelenggara aset sudah menerima bekalan air.

Wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Shah Alam pulih sepenuhnya manakala Kuala Selangor (99.4 peratus), Petaling (98.9), Gombak (85), Kuala Lumpur (70.5) sementara Klang di tahap 50.4 peratus.

Berikutan kerja penambahbaikan itu, seramai 200 Team Sukarelawan terlibat aktiviti mengagihkan botol air minuman kepada penduduk di 27 lokaliti dalam 12 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tumpuan diberikan kepada penghuni yang uzur dan kurang berkemampuan seperti warga emas dan orang kelainan upaya.